Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) mengakui bahawa pintu sentiasa terbuka buat atlet yang digugurkan daripada program latihan di bawah mereka tahun ini untuk kembali disenaraikan sekiranya berjaya kembali mempamerkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, peluang kedua wujud kepada semua dan ia sudah dibuktikan sebelum ini apabila ada atlet yang digugurkan kembali terpilih.

"Beberapa atlet lain juga pernah datang balik (kembali tersenarai dalam program latihan MSN) selepas mempamerkan prestasi terbaik. Kita juga ada beberapa atlet olahraga yang masih berusaha untuk datang balik dan cuba buktikan yang mereka masih lagi terbaik bukan saja di dalam negara tetapi di peringkat Asia Tenggara dan seterusnya," katanya dalam sidang media semalam.

Ujar beliau, peluang itu sentiasa terbuka selagi atlet berkenaan dapat buktikan bahawa mereka masih mampu memberikan pulangan kepada pelaburan negara.

"Saya rasa bukan saja saya tetapi persatuan sukan kebangsaan juga sedia untuk menerima mereka kembali. Kami di sini untuk memberikan mereka peluang meneruskan minat dan mengasah bakat mereka sehinggalah meraih pencapaian tertinggi. Itulah tujuan kami bekerja di sini sebagai persatuan dan MSN," katanya.

Susulan peruntukan kewangan yang terhad, MSN terpaksa mengurangkan penyertaan atlet dalam program latihan tahun ini dengan hanya 248 ditawarkan kontrak baharu berbanding 432 tahun lalu.

Bagi atlet para pula, seramai 45 atlet dipilih meneruskan program berbanding 114 pada tahun lalu manakala sebanyak 178 atlet pelapis ditawarkan kontrak baharu berbanding 260 tahun lalu dan 22 bagi atlet pelapis para.

MSN sebelum ini menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula tahun 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 4:16 PM