RASHID berkata bola sepak mengalami impak lebih teruk susulan pandemik Covid-19. FOTO Mohd Yusni Ariffin
RASHID berkata bola sepak mengalami impak lebih teruk susulan pandemik Covid-19. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Ferzalfie Fauzi


BEKAS pemain dan jurulatih badminton negara, Rashid Sidek berpendapat skuad kebangsaan tidak perlu tergesa-gesa menyambung latihan secara berkumpulan seperti biasa.

Menurutnya, jika badminton mendapat keistimewaan dibenarkan menyambung latihan, ia akan menyebabkan acara sukan dan persatuan lain turut menginginkan perkara yang sama.

"Apabila satu lepas, mesti semua mahu (menyambung latihan). Ada yang akan mempersoalkan nanti kenapa mereka tidak boleh berlatih," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ujar Rashid, jika hendak diikutkan bola sepak mengalami impak lebih teruk.

"Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang, mahu atau tidak mahu ikut arahan kerajaan. Teruskan latihan fizikal di rumah, lagi pun sekarang bukannya ada kejohanan yang sudah disahkan akan berlangsung.

"Kalau ada kejohanan sekali pun saya rasa pemain sendiri akan berasa gerun hendak pergi. Saya rasa dalam masa terdekat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak akan mengumumkan sebarang kejohanan yang akan disambung semula.

"Paling cepat mereka diberi lampu hijau untuk berlatih semula saya rasa selepas sambutan Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh mengakui badan induk itu tidak pernah membuat rayuan untuk meminta pemain diberi lampu hijau memulakan latihan.

"Kita cuma berbincang bersama Majlis Sukan Negra (MSN) untuk melihat semula pemain diberi peluang memulakan latihan lebih awal.

"BAM tidak membuat permohonan cuma berbincang, jadi ia terpulang kepada MSN," katanya yang mengakui perbincangann itu diadakan dua atau tiga minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 7:10 PM