Datuk Ahmad Shapawi Ismail
Datuk Ahmad Shapawi Ismail
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) mengakui dan sedar bahawa cabaran pada 2022 tidak mudah dan ia penuh ranjau yang berliku.

Bukan hanya tiga temasya utama menjadi fokus bermula dengan Sukan Sea, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou di China malah turut dipertanggungjawabkan menganjurkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail yakin ia akan dapat diharungi dengan kerjasama daripada semua pihak.

"Tahun 2021 sudah berlalu dan kini kita perlu memberi penumpuan kepada 2022. Cabaran memang besar. Tiga temasya utama dan pada masa yang sama kami berdepan dengan kekangan peruntukan berikutan negara kini dalam fasa pemulihan.

"Namun kita perlu terus pandang ke depan dan mengharungi cabaran dalam menyediakan atlet ke tiga temasya berkenaan," katanya.

MSN sebelum ini menetapkan pencapaian di peringkat kejohanan tertinggi bermula dari 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan kendalian MSN bermula 2022 dan juga kelayakan ke Sukan Sea.

Penetapan syarat lebih ketat itu adalah langkah diperkenalkan semula MSN selepas berdepan realiti tiada peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamat temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

MSN sebelum ini mengesahkan bahawa mereka akan mengurangkan bilangan atlet sepenuh masa di bawah program iaitu daripada 432 kepada 288 tahun depan berikutan kekurangan sumber apabila kerajaan sedang mengalihkan tumpuannya kepada inisiatif pemulihan Covid-19.

Jumlah atlet yang dikenal pasti itu akan kekal mengikuti program latihan secara sepenuh masa yang juga kumpulan atlet berpotensi meraih pingat pada tiga temasya sukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 11:04 PM