MEGAWATI cemerlang beraksi bersama Red Sparks. FOTO AGENSI
MEGAWATI cemerlang beraksi bersama Red Sparks. FOTO AGENSI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Susuk tubuh tinggi lampai dan satu-satunya wanita berhijab dalam gelanggang bola tampar di Korea Selatan mencetus fenomena di laman sosial tiktok.

Dia adalah pemain bola tampar berhijab pertama dari Indonesia, Megawati Hangestri yang juga dikenali sebagai Megatron, beraksi dalam liga bola tampar Korea Selatan bersama pasukan Daejeon Jung Kwan Jang Red Sparks (Red Sparks).

Kehadiran Megawati memberi impak sekali gus menjadi perhatian pencinta sukan itu di Korea dan Indonesia.

Aksi pantas dengan servis tajamnya membawa pasukan Red Sparks mara hingga ke peringkat separuh akhir selepas tujuh tahun.

Mengakui merindui keluarga, namun Megawati yang mudah disapa dengan Mega itu menjadikan keinginan untuk membanggakan kedua orang tuanya membuatkan dia tegar untuk terus berada di bumi Korea.

Pada bulan Ramadan ini, Mega berkata, dia tetap meneruskan ibadah itu seperti biasa, malah ada kalanya ditemani rakan pasukan berbuka bersama di restoran makanan Thailand di Korea.

Berusia 24 tahun, Mega mengakui pada mulanya agak sukar untuk dirinya menyesuaikan diri dengan persekitaran kerana masih belum fasih berbahasa Korea, namun kehadiran pemain dari pasukan Red Sparks seperti Ko Hee Jin banyak memberikannya motivasi.

"Saat berbuka puasa ada kalanya memang saya merindui keluarga di Indonesia. Tapi saya masih ada tugas yang belum selesai.

"Hee Jin banyak memberikan motivasi untuk saya meneruskan perjuangan di sini (Korea Selatan)," katanya.

Mengulas mengenai jadual latihannya di bulan puasa, Mega berkata, ia sama sahaja, namun ada kalanya dia terpaksa meninggalkan ibadah itu kerana tuntutan kariernya.

Dia menjelaskan ada ketikanya terpaksa menempuh pertandingan dan kewajipannya adalah bermain dan puasanya akan diganti di lain waktu.

"Saya tidak akan berpuasa jika saya perlu menempuh perlawanan penting dan ketika ini pasukan berada dalam tempoh kritikal iaitu berjuang di separuh akhir.

"Sesuatu yang diimpikan oleh semua pemain untuk membawa pasukan kami ke final. Jadi ia memerlukan tenaga yang cukup untuk saya membantu pasukan.

"Saya akan menggantikan puasa saya di hari lain. Tapi jika tiada perlawanan, saya akan berpuasa seperti biasa.

"Saat pertama kali sampai di Korea, saya sudah memaklumkan bahawa saya mahu berikan yang terbaik. Saya ingin mengukir sejarah, jadi saya mesti berada dalam keadaan terbaik," katanya.

Bukan hanya namanya dikenali di Indonesia, Mega membina kerjaya sebagai pemain bola tampar di luar negara.

Imej itu tidak menyekat dia melebarkan kariernya dengan menyertai kelab Thailand, Supreme Chonburi-E.Tech dalam Liga Bola Tampar Wanita Thailand pada 2021.

Pada 2022 dia berpindah ke kelab Vietnam Ha Phu Thanh Hoa dalam Liga Bola Tampar Vietnam selepas Proliga 2022 berakhir sebelum beraksi bersama Red Sparks di Korea Selatan.

Menceritakan kembali detik pembabitannya, Mega sendiri tidak menyangka akan dapat membawa nama Indonesia sejauh ini dalam sukan bola tampar.

Malah dia mengakui bahawa pada mulanya dia lebih berminat dengan bola sepak dek kerana gayanya seperti 'tomboy'.

"Dulu saya suka bola dan saya ingin bermain bola. Tapi kata ayah kenapa tak cuba dulu bola tampar. Siapa tahu boleh pergi lebih jauh.

"Dan pada mulanya memang saya tak sukakan bola tampar tapi seiring waktu berjalan, akhir saya jatuh cinta. Sekarang saya benar-benar mencintai sukan ini," katanya.

Ayah Mega kini sudah meninggal, namun kenangannya masih dipegang erat oleh Mega yang semakin terdorong untuk memberikan yang terbaik sebagai atlet bola tampar.

Mega mengatakan menjadikan pemain bola tampar Korea, Kim Yeon Koung dan Tijana Boskovic, sebagai idolanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 3:58 PM