Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Sebanyak 20 pasukan menyertai Kejohanan Bola Tampar Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Azizan Muin di Dewan Tertutup, Mini Kompleks Sukan MPM, di sini.

Kejohanan anjuran MPM dengan kerjasama Kelab Bola Tampar Kawasan Rukun Tetangga (KRT) VI Seri Manjung baru-baru ini bertujuan meningkatkan semangat kesukanan di kalangan masya rakat terutamanya sukan bola tampar dan memperkasakan semangat perpaduan.

Peserta membabitkan penduduk setempat, wakil agensi kerajaan dan beberapa pemain peringkat negeri seperti Johor, kedah, Perlis, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak yang bersaing dalam kejohanan dianjurkan buat kali ke empat itu.

Yang Dipertua MPM Azizan Abd Muin berkata, selain meningkatkan semangat ke sukanan, ia juga bagi mencungkil bakat baru sebagai pelapis sukan bola tampar.

“MPM sentiasa menyokong serta memberikan kerjasama dalam penganjuran program sukan komuniti dan kejohanan ini diharap dapat dijadikan pencetus inspirasi kepada Jawatan Perwakilan Penduduk (JPP), KRT dan badan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini dalam melaksanakan program sosiokomuniti,” katanya.

Pada kejohanan itu, Pasukan KRT 6 MPM berjaya muncul juara dan membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM2,500, kedua milik Navy (Tentera Laut DiRaja Malaysia) yang menerima RM1,000 dan ketiga Bomba Selangor, RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 9:52 AM