GELAGAT pemain bola tampar wanita Afghanistan ketika menentang Kazakhstan, semalam. FOTO AFP)
GELAGAT pemain bola tampar wanita Afghanistan ketika menentang Kazakhstan, semalam. FOTO AFP)
AFP

Hangzhou: Skuad bola tampar wanita Afghanistan berharap penampilan di Sukan Asia ke-19 yang bertentangan dengan rejim Taliban akan menggalakkan lebih ramai wanita di negara itu 'mengikut cita-cita mereka'.

Pemain itu berani menghadapi konflik, buangan dan ancaman kepada keluarga mereka di tanah air apabila membuat keputusan untuk bertanding di Hangzhou.

Di Afghanistan, sukan bagi wanita diharamkan oleh rejim Taliban apabila mereka kembali berkuasa pada 2021.

Ia bermakna tiada wanita berlepas dari negara itu dalam delegasi membabitkan 120 atlet, jurulatih serta pegawai ke China.

Tetapi, menerusi bantuan pelbagai badan sukan di luar negara, lebih sedozen pemain wanita Afghanistan yang berpangkalan di luar negara turut bertanding dengan majoritinya membabitkan pemain bola tampar.

"Saya fikir, ia adalah harapan besar kepada wanita Afghan bahawa mereka tidak mengalah memburu impian dan dan mereka mahu mengejar mimpi serta cita-cita," kata Mursal Khedri, 25, selepas tewas 0-3 kepada Jepun, semalam.

Skuad 12 pemain itu turut berdepan Kazakhstan pada hujung minggu dan kekal bersemangat walaupun tewas di tangan lawan yang lebih baik itu.

Memakai penutup kepala dan seluar panjang, mereka gembira dan bertepuk tangan sesama sendiri apabila memasuki gelanggang.

Malah, penonton bersorak apabila mereka mendapat mata pertama ketika menentang Jepun.

Walaupun mereka kecundang 0-3 dalam kedua-dua perlawanan itu, wujud kebanggaan apabila berjaya mara sejauh ini.

"Memang sukar bagi pemain wanita Afghanistan untuk beraksi di Sukan Asia kerana situasi cukup sukar buat kami, semua orang tahu keadaan di Afghanistan," kata Khedri.

Ramai pemain bola tampar itu enggan ditemu bual kerana bimbang akan memberi masalah kepada ahli keluarga yang masih menetap di Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 10:08 AM