LYDIA Ko bersama trofi kejuaraan. -FOTO AFP
LYDIA Ko bersama trofi kejuaraan. -FOTO AFP
AFP

Miami: Lydia Ko dari New Zealand memenangi gelaran LPGA ke-20 dalam kariernya selepas membenam dua bawah par 70 pada pusingan akhir Kejohanan Juara-Juara.

Lydia pemain ke-12 dunia, juara kejohanan utama sebanyak dua kali, tidak pernah memenangi mahkota kejuaraan siri Jelajah LPGA sejak 2022 tetapi memenangi Kejohanan Antarabangsa Wanita Saudi tahun lalu dan menyertai acara berpasukan campuran bulan lalu bergandingan bersama Jason Day dari Australia.

Pemain New Zealand kelahiran Korea Selatan yang berusia 26 tahun itu menamatkan aksi 72 lubang di Orlando Lake Nona dengan catatan 14 bawah 274 untuk menewaskan pemain remaja AS, Alexa Pano dengan dua pukulan.

"Saya cuba bekerja keras dua minggu sebelum kejohanan ini kerana menang di tempat sendiri adalah sesuatu yang bagus," kata Lydia.

"Sudah tentu ada rasa gementar tetapi ia tidaklah terlalu gemuruh hanya kerana ia adalah tempat saya. Melihat ramai yang menyokong dan bertepuk tangan serta menceriakan saya ia sesuatu yang sangat baik minggu ini."

Brooke Henderson dari Kanada berada di tempat ketiga dengan 278 pukulan selepas menamatkan saingan 68 lubang manakala Ayaka Furue dari Jepun dan pemain Amerika Cheyenne Knight dan Ally Ewing berkongsi tempat keempat dengan 280.

Lydia yang memenangi gelaran LPGA pertamanya sebagai pemain amatur berusia 15 tahun di Terbuka Wanita Kanada 2012, mempunyai kelebihan dua pukulan hingga ke pusingan akhir dan melebarkan kelebihannya apabila melakukan birdie par 3 lubang keenam dan par 5 lubang kesembilan.

Selepas bogey-birdie di sembilan lubang terakhir, Lydia melakukan birdie pada par 5 lubang ke-15 kemudian berjaya mengatasi bogey penutup untuk memenangi hadiah utama $225,000 (RM1.06 juta). ​

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 10:09 AM