ABDUL Halim (dua dari kiri) menyampaikan sijil pelantikan Naib Presiden Istaf kepada Sumali (dua dari kanan), hari ini. FOTO BERNAMA
ABDUL Halim (dua dari kiri) menyampaikan sijil pelantikan Naib Presiden Istaf kepada Sumali (dua dari kanan), hari ini. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Buat julung kalinya Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) akan memperkenalkan sistem ranking dunia di Piala Dunia Sepaktakraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 19 hingga 27 Mei depan.

Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Piala Dunia itu amat penting kerana ia akan mengambil kira sistem ranking dunia dan akan terpakai pada Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada 2026.

Beliau berkata, ini bermakna hanya negara yang berada dalam ranking tertinggi akan bermain di temasya itu.

Jelasnya, sebanyak 16 pasukan akan mengambil bahagian di Piala Dunia kali ini dan bagi memastikan kejohanan itu dapat mewujudkan persaingan lebih kompetitif, setiap negara wajib menghantar pasukan utama mereka.

"Semua 16 pasukan yang akan sertai Piala Dunia nanti terdiri daripada negara elit dan mereka tidak boleh menghantar pasukan simpanan atau pelapis, sebaliknya perlu hantar pasukan terkuat mereka.

"Mungkin selepas ini Istaf hanya akan membenarkan negara yang mempunyai ranking tertinggi dunia sahaja menyertai Sukan Asia.

"Perkara ini dalam proses kemaskini kami (Istaf) mendapatkan pengiktirafan daripada OIC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dan bila sepak takraw masuk Sukan Olimpik nanti, kita sudah ada ranking ini.

"Tujuan utama sistem ranking ini adalah mewujudkan pertandingan sepak takraw lebih berprestij apabila hanya pasukan yang mempunyai ranking tertinggi sahaja dibenarkan bertanding," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Piala Dunia Sepak Takraw, hari ini.

Beliau berkata, setiap negara berpeluang untuk mendapatkan sistem mata bagi membantu ranking dunia di dalam beberapa kejohanan utama seperti Sukan Sea, Sukan Asia, Kejuaraan Asia dan Piala Raja Thai.

Selain itu, katanya, Istaf akan bekerjasama dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk meningkatkan lagi kepakaran dalam badan induk itu.

"Kita akan minta Datuk Sumali Reduan (Presiden PSM) memberi satu atau dua nama untuk berada dalam jawatankuasa peringkat dunia seperti kejurulatihan, pengadil (2 orang), teknikal (2 orang) dan antarabangsa (dua orang)," katanya.

Kejohanan Piala Dunia itu akan mempertandingkan tiga acara iaitu berpasukan, regu dan double.

Setakat ini, beberapa negara sudah mengesahkan penyertaan seperti Malaysia, Thailand, Jepun, Korea dan Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 8:58 PM