HALIM Kader mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nazifuddin Najib baru-baru ini. -FOTO Istaf
HALIM Kader mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nazifuddin Najib baru-baru ini. -FOTO Istaf
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) memuji Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) apabila berjaya mengadakan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan jayanya tanpa tercetusnya sebarang isu besar dalam pertandingan itu.

Setiausaha Istaf, Abdul Halim Kader berkata, beliau juga melihat sistem baharu iaitu 15 mata dengan satu servis itu juga berjaya memastikan pertandingan itu dapat mewujudkan persaingan yang lebih sengit daripada pasukan yang bertanding.

Oleh itu, beliau berharap Istaf dan PSM akan terus bekerjasama pada masa akan datang dalam memajukan lagi sukan sepak takraw ke tahap lebih tinggi dan menarik penyertaan lebih banyak dari negara lain.

"Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dengan bangganya mengumumkan kejayaan gemilang Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur pada Mei 2024 yang lalu.

"Kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di bawah pimpinan Datuk Sumali Reduan atas pencapaian cemerlang mereka dan kepada semua negara yang mengambil bahagian atas semangat kesukanan yang cukup tinggi serta berdaya saing.

"Kejohanan ini membuktikan keberkesanan sistem 15 mata baharu kami dan peraturan 'servis satu-satu' yang memastikan medan permainan yang sama rata untuk semua negara yang mengambil bahagian," katanya.

Selain itu, Istaf juga menghargai sokongan dan komitmen dari Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan pegawai yang terlibat serta kesemua 21 pasukan yang mengambil bahagian seperti pegawai, penaja, dan peminat yang menjayakan kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 2:51 PM