AHLI Jawatankuasa Istaf, Jais Abdul Karim (tengah) bersama media Malaysia di Doha, Qatar. -FOTO NSTP
AHLI Jawatankuasa Istaf, Jais Abdul Karim (tengah) bersama media Malaysia di Doha, Qatar. -FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Doha: Pengenalan sistem ranking dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) bukan sahaja membawa sukan itu ke era profesional malah ia mendekatkan sukan tradisional Malaysia itu ke Sukan Olimpik.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Komiti Etika dan Integriti Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf), Jais Abdul Karim yang percaya sistem ranking ini bakal memajukan serta mengukuhkan lagi imej sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa.

Jelas Jais, sistem ini dijangka akan mendorong persaingan yang lebih sihat, meningkatkan kualiti perlawanan sekali gus mengekalkan daya tarikan kepada penonton sepak takraw.

"Langkah Istaf ini juga dapat dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

"Dengan adanya sistem ranking, sepak takraw bukan sahaja memasuki era profesionalisme yang lebih mendalam, tetapi juga melangkah lebih dekat ke pintu gerbang Sukan Olimpik.

"Sukan sepak takraw mempunyai potensi untuk menjadi satu lagi daya tarikan di Sukan Olimpik dan menyumbang kepada kepelbagaian acara sukan," katanya ketika ditemui di Doha, Qatar sempena Piala Asia.

Beliau yang hadir bagi menzahirkan sokongan kepada skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon akui sistem ranking ini turut boleh dijadikan kayu pengukur prestasi negara bertanding secara lebih sistematik.

"Dengan kemajuan yang selari dengan era modenisasi ini, adalah penting bagi pihak Istaf dan pihak berkepentingan untuk terus mengkaji dan memperbaharui sistem ranking ini.

"Sambutan dan maklum balas daripada para penggiat sukan, pengurus pasukan dan peminat sukan sepak takraw perlu diambil kira untuk memastikan keadilan dan keberkesanan sistem ini," katanya yang juga Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Sebelum ini, Istaf mengumumkan akan memperkenalkan sistem ranking dunia di Piala Dunia Sepaktakraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 19 hingga 27 Mei depan.

Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Piala Dunia itu amat penting kerana ia akan mengambil kira sistem ranking dunia dan akan terpakai pada Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada 2026 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 2:43 PM