AZIZULHASNI dipantau rapi oleh MSN. FOTO AFP
AZIZULHASNI dipantau rapi oleh MSN. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perlu diakui ketika ini hanya Datuk Azizulhasni Awang dilihat menjadi prospek terbaik untuk menghadiahkan kilauan emas negara di temasya Olimpik Paris.

Keadaan terkini bekas juara dunia 2017 itu dipantau rapi oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memastikan pelumba yang dikenali 'The Pocket Rocketman' itu kekal di landasan terbaiknya.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin memaklumkan Azizulhasni kini kembali menjalani latihan di Melbourne sebagai persiapan mempersiapkan diri untuk berdepan kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik.

"Ketika ini Azizulhasni dan Shah Firdaus (Sahrom) sudah hampir pasti layak ke Olimpik cuma kita perlu tunggu sehingga tarikh akhir kelayakan iaitu pada April.

"John (Beasley) serta beberapa pelumba negara yang lain termasuk Shah Firdaus juga turut berada di Melbourne dalam waktu terdekat ini.

"Segala perkembangan Azizulhasni akan dimaklumkan kepada MSN dan dia dijangka akan menyertai beberapa perlumbaan kecil di Australia sebelum turun beraksi Piala Dunia," katanya.

Azizulhasni dijadualkan akan turun perlumbaan kompetitif pertamanya tahun depan di Siri Piala Negara-Negara di Adelaide, Australia, Hong Kong dan Kanada.

Terdahulu Azizulhasni memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Asia Hangzhou yang lalu selepas terbabit dengan kemalangan ketika menjalani latihan sehingga menyebabkan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu seperti melambung ketika berada di selekoh.

Namun jaguh berbasikal trek negara membuktikan dia kini sudah kembali di tahap terbaik apabila meraih pingat perak dalam acara keirin di Kejohanan Australia Wheel Race di Melbourne baru-baru ini.

Ia adalah kejohanan pertama yang disertainya selepas mengalami kecederaan pada September lalu sehingga terpaksa menarik diri daripada beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 4:31 PM