AZIZULHASNI (kiri) perlu menunggu sehingga Khamis ini sebelum keputusan seterusnya di buat. FOTO Bernama
AZIZULHASNI (kiri) perlu menunggu sehingga Khamis ini sebelum keputusan seterusnya di buat. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Adakah kontinjen negara ke temasya Sukan Asia, Hangzhou kehilangan satu pingat emas?.

Persoalan itu mula dibangkitkan selepas jurulatih berbasikal negara, John Beasley memaklumkan bahawa belum ada kepastian sama ada jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang akan turun beraksi di temasya itu.

Beasley berkongsi kemungkinan itu selepas Azizulhasni atau dikenali dengan panggilan Jijoe hadir menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

"Keadaan Azizul kini 50-50. Masih belum pasti sama ada di cukup cergas untuk bertanding atau sebaliknya.

"Kita perlu menunggu sehingga Khamis ini sebelum keputusan seterusnya di buat," kata Beasley.

Menguatkan lagi khabar itu, ISN hingga kini masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung kecederaan yang dialami oleh pemenang pingat perak Olimpik Tokyo dalam acara keirin itu.

Terdahulu Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill positif, Azizulhasni akan beraksi di Hangzhou kerana luka-luka dialami pelumba itu hanya membabitkan bahagian luaran.

Jika benar Azizulhasni terpaksa menarik diri misi pemburuan emas kini akan digalas Mohamad Shah Firdaus Sahrom dan kuartet pecut lelaki.

Di Hangzhou, Azizulhasni dijadualkan beraksi dalam dua acara iaitu pecut individu dan keirin.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 6:28 PM