SHAH Firdaus (kanan) bersama, Azizul dan Richardson. FOTO FB Azizulhasni Awang
SHAH Firdaus (kanan) bersama, Azizul dan Richardson. FOTO FB Azizulhasni Awang
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keputusannya memilih berpangkalan di Melbourne, Australia untuk berlatih bersama-sama jaguh dunia, Azizulhasni Awang di bawah bimbingan jurulatih John Beasley kini mula menampakkan hasil buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Satu demi satu kejayaan berjaya diraihnya dan kelmarin Shah Firdaus berjaya menewaskan 'sifunya' Azizul sekali lagi di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia dan pelumba tuan rumah Matthew Richardson ketiga dalam acara keirin.

Terdahulu dalam acara pecut di kejohanan yang sama, Shah dan Azizulhasni meraih pingat gangsa dan perak.

Shah yang pernah meraih pingat perak dalam acara keirin di Kejohanan Asia di Jakarta pada 2019, sebelum ini pernah mengatasi Azizulhasni di Kejohanan Keirin Victoria, Februari lalu dengan 'The Pocket Rocketman' berada di tempat kedua.

Ditanya apakah perasaannya apabila dua kali berjaya menewaskan Azizul, Shah berkata, menang atau kalah bukan tujuan utama mereka di kejohanan itu kerana yang penting adalah pengalaman.

"Keseluruhannya saya puas hati sebab banyak peningkatan saya buat dari segi kayuhan. Cuma apa yang saya tahu, saya masih perlu banyak belajar lagi dari teknik dan cara membuat keputusan dalam perlumbaan.

"Perlumbaan semalam (kelmarin) memang sengit. Sangat laju dari awal lagi sebab semua pelumba cuba lakukan pecutan awal.

"Sebenarnya menang atau kalah bukan fokus utama. Saya memang sudah set dari awal untuk buat pecutan jarak jauh dan Alhamdulillah berjaya," katanya yang akan turut beraksi di temasya Olimpik Tokyo dalam acara pecut dan keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 7:19 PM