AZIZULHASNI mempunyai jadual perlumbaan yang padat apabila akan menyertai Kejohanan Kebangsaan Australia di Brisbane awal Mac. FOTO Bernama
AZIZULHASNI mempunyai jadual perlumbaan yang padat apabila akan menyertai Kejohanan Kebangsaan Australia di Brisbane awal Mac. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley berkata Melbourne adalah destinasi terbaik buat jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang membuat persediaan untuk temasya Olimpik Paris.

Azizulhasni kekal menjadi sandaran utama negara dalam usaha merealisasikan emas pertama negara di temasya terbesar itu. Justeru Beasley ketika dihubungi berkata, adalah wajar untuk Azizul kekal berlatih di Melbourne sehingga Olimpik Paris.

"Melihat Paris akan menjadi Olimpik terakhir bagi Azizul dan selepas perbincangan yang panjang, kami memutuskan, Melbourne adalah tempat terbaik untuk dia mempersiapkan diri ke Olimpik.

"Azizul akan menjalani beberapa siri perlumbaan di sana seperti dirancang yang mana dia dijadualkan bertanding di Adelaide 19 Januari ini," katanya.

Beasley berkata, seorang lagi pelumba negara iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan menyertai Azizul di Melbourne dan akan bergandingan bersama di perlumbaan Piala Negara-Negara di Adelaide pada 2 Februari nanti.

Shah kemudiannya akan terbang berseorangan ke India untuk beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi pada penghujung Februari selepas Azizul memutuskan tidak beraksi di ACC.

Menurut Beasley biarpun Azizul tidak menyertai ACC yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik, Azizul tetap mempunyai jadual perlumbaan yang padat apabila akan menyertai Kejohanan Kebangsaan Australia di Brisbane awal Mac dan kemudiannya ke siri kedua Piala Negara-Negara di Hong Kong pada pertengahan 15 Mac nanti.

Terdahulu Azizul mengumumkan berita gembira kelahiran cahaya mata yang keempat yang diberi nama Amna Aseeya.

Kelahiran Aseeya yang dilahirkan sama dengan ulang tahun kelahirannya iaitu 5 Januari lalu, dilihat menjadi hadiah bermakna buat dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 5:53 PM