Ahmad Samsuri (kiri) menyampaikan insentif kepada Azizul yang berjaya memenangi pingat perak acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Samsuri (kiri) menyampaikan insentif kepada Azizul yang berjaya memenangi pingat perak acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO Ghazali Kori
BERNAMA

Kuala Terengganu: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang menaruh harapan tinggi agar khidmat ketua jurulatih John Beasley yang bakal tamat hujung tahun ini disambung sekurang-kurangnya sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata ia bagi memastikan persediaannya serta rakan pasukan lain menghadapi temasya sukan itu di Paris tidak terjejas dan berjalan lancar.

Menurut Azizulhasni, jurulatih kelahiran Australia itu merupakan watak penting yang menyumbang kepada kejayaannya meraih pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu.

"Bagi perlumbaan legasi terakhir saya (di Sukan Olimpik 2024), saya amat memerlukan bimbingan Beasley untuk persiapan ke Olimpik, tiga tahun sahaja..tidak lama.

"Ketiadaan beliau (Beasley) atau pertukaran jurulatih pastinya akan merencatkan segala perancangan dan latihan kami nanti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Kediaman Seri Iman, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Azizulhasni, yang menang pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, dihadiahkan sebuah rumah bernilai RM300,000 dan wang tunai RM50,000 oleh kerajaan negeri Terengganu.

Majlis penyerahan insentif tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebagai rekod, Beasley mula menggalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad basikal trek negara pada 2006 dan dialah yang bertanggungjawab membawa Azizulhasni dan barisan pelumba negara menjalani latihan di Australia.

Menerusi sentuhan Beasley, Azizulhasni berjaya menjadi pelumba basikal trek pertama negara yang memenangi pingat di Sukan Olimpik apabila meraih gangsa di Olimpik Rio 2016 acara keirin selain muncul juara dunia 2017.

Jurulatih itu menjadi watak penting terhadap kemunculan seorang lagi pelumba negara Muhamad Shah Firdaus yang berjaya layak secara merit ke Tokyo.

Azizuhasni berkata buat masa ini beliau mahu menghabiskan masa dengan berehat dan hanya akan kembali menyertai kejohanan berbasikal pada tahun depan.

Ia memandangkan beliau telah memerah keringat dan menghabiskan masa selama lima tahun untuk latihan Olimpik 2020 di Tokyo, baru-baru ini.

"Saya perlu rehat sekejap kerana persiapan Olimpik Tokyo itu sangat mendalam dan terperinci selain untuk beri peluang kepada pelumba muda juga.

"Insya-Allah tahun depan saya akan tumpu kepada kejohanan besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia untuk beraksi dengan cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 5:26 PM