Pemenang pingat emas tenis perseorangan lelaki Olimpik Tokyo 2020, Alexander Zverev dari Jerman. FOTO AFP
Pemenang pingat emas tenis perseorangan lelaki Olimpik Tokyo 2020, Alexander Zverev dari Jerman. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Alexander Zverev berkata "tiada yang cukup besar" daripada memenangi pingat emas Olimpik selepas menewaskan Karen Khachanov sekali gus merangkul kejuaraan acara tenis perseorangan lelaki di Tokyo, hari ini.

Pilihan keempat, yang menamatkan pemburuan Grand Slam Emas Novak Djokovic pada separuh akhir, menguasai perlawanan untuk menang 6-3, 6-1 hanya selepas aksi 79 minit di Ariake Tennis Park.

"Tiada yang lebih baik daripada ini," kata Zverev yang terbaring di atas gelanggang ketika meraikan kemenangannya.

Pemain nombor lima dunia itu menjadi hanya pemain kedua dari Jerman yang memenangi pingat emas perseorangan di Olimpik selepas Steffi Graf pada 1988, sementara Boris Becker dan Michael Stich merangkul mahkota beregu lelaki empat tahun kemudian.

Zverev masih memburu kejuaraan Grand Slam pertama selepas hampir beberapa kali dapat melakukannya, ia termasuk apabila dia mensia-siakan peluang ketika mendahului dua set sebelum tewas kepada Dominic Thiem pada final Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

"Sejujurnya, saya tidak mahu bercakap mengenai Grand Slam seterusnya buat masa ini," katanya selepas ditanya adakah kejayaan Olimpiknya itu akan dapat membantu mencatat keputusan lebih baik di Flushing Meadows, bulan depan.

"Saya baru saja memenangi Sukan Olimpik dan saya fikir tiada yang lebih besar daripada memenangi acara di Sukan Olimpik."

Pemain berusia 24 tahun itu berkata kejayaan berkenaan membayangi pencapaian ATP Finals 2018 dan empat kejuaraan Masters yang menangi.

"Saya tidak dapat membandingkannya kerana ini adalah lebih besar daripada segalanya dalam sukan, terutama dalam tenis," tambah Zverev.

"Ya, saya menang World Tour Finals, tetapi saya fikir, untuk berlaku adil, pingat emas di Olimpik, bagi saya, nilainya begitu hebat kerana anda tidak hanya bermain untuk diri sendiri, anda bermain untuk seluruh negara anda."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 8:19 PM