REAKSI  Djokovic meraikan kemenangan ke atas Rublev. FOTO AP
REAKSI Djokovic meraikan kemenangan ke atas Rublev. FOTO AP
Reuters

Turin: Novak Djokovic boleh melebarkan rekod 10 gelaran perseorangan di Terbuka Australia tahun depan selepas kerajaan Australia meluluskan visa kepada bintang Serbia itu untuk menyertai kejohanan.

Pemain berusia 35 tahun itu dihantar pulang selepas tiba di Melbourne susulan enggan mematuhi syarat wajib vaksin Covid-19.

Kerajaan Australia berkata, keputusan menarik balik keputusan pembatalan visa Djokovic selepas mengambil kira beberapa faktor.

"Djokovic diberikan visa sementara untuk memasuki Australia," kata Menteri Imigresen, Andrew Giles dalam satu kenyataan semalam.

Djokovic yang masih lagi belum divaksinasi mengesahkan dia diberikan kelulusan untuk bertanding.

"Saya sangat gembira menerima berita itu semalam," kata Djokovic selepas menewaskan Andrey Rublev pada Pusingan Akhir ATP di Turin, awal pagi tadi.

"Ia sangat melegakan selepas apa yang berlaku kepada saya dan keluarga terdekat tahun ini susulan insiden di Australia."

Djokovic, bekas pemain nombor satu dunia mempunyai 21 gelaran Grand Slam pada awalnya dilarang ke Australia sehingga 2025 tetapi hukuman itu kini ditarik balik.

"Terbuka Australia antara Grand Slam paling berjaya dalam karier saya. Saya mempunyai banyak memori indah di sana," katanya.

"Sudah tentu saya mahu kembali, bermain tenis dan melakukan yang terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 11:30 AM