AMY memberi reaksi terkejut selepas muncul juara di Florida. FOTO AFP
AMY memberi reaksi terkejut selepas muncul juara di Florida. FOTO AFP
AFP

Miami: Pemain golf Korea Selatan, Amy Yang meraih kemenangan terbesar dalam kariernya selepas mengatasi Nasa Hataoka dari Jepun untuk memenangi Jelajah Akhir LPGA di Florida.

Amy yang berusia 34 tahun dan berpangkalan di Florida itu mencatatkan enam di bawah par 66 untuk melengkapkan kemenangan dengan kelebihan tiga pukulan di Kelab Golf Tiburon di Naples dan memperoleh hadiah AS$2 juta (RM9.3 juta).

"Saya masih tidak percaya mampu melakukannya," kata Amy yang sebelum ini meraih empat kejuaraan LPGA di Asia.

Nasa berada di kedudukan teratas sejak pusingan pembukaan, dan berkongsi pendahuluan pada hari terakhir bersama Amy selepas mencatat tujuh bawah par 65 pada pusingan ketiga.

Bagaimanapun, selepas melepasi 54 lubang pertama kejohanan itu tanpa melakukan sebarang bogey, Nasa akhirnya dicabar sengit dalam aksi sembilan lubang terakhir.

Kedua-dua pemain itu terikat 25 di bawah par ketika menuju ke lubang ke-16 dan kelihatan akan berlarutan sehingga penghujung saingan selepas Amy gagal menyudahkan putt jauh untuk mendapatkan birdie dan mendahului saingan.

Nasib menyebelahinya apabila Nasa melakukan bogey selepas gagal melakukan putt pendek bagi menyamai par sekali gus membolehkan Amy memiliki kelebihan satu pukulan ketika berbaki dua lubang.

Amy berkata, dia berasa sangat gementar ketika kedua-duanya berada dalam keadaan tegang, dengan menyedari Nasa mampu meningkatkan momentum pada bila-bila masa.

"Saya tidak boleh agak bagaimana ia akan berakhir. Apa yang saya lakukan hanya kekal dengan permainan saya dan mempercayainya," kata Amy.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 9:18 AM