SHANTI memenangi pingat emas acara 200m wanita, Isnin lalu. FOTO REUTERS
SHANTI memenangi pingat emas acara 200m wanita, Isnin lalu. FOTO REUTERS
AFP

Hangzhou: Apabila Shanti Pereira memecut laju ketika acara 200 meter (m) wanita untuk merangkul emas pertama Singapura dalam olahraga bagi tempoh 49 tahun, keluarganya yang berada di tempat duduk penonton di Stadium Olimpik Hangzhou sangat bangga.

Shanti menyelimut tubuhnya dengan bendera Singapura selepas kejayaan itu dan berlari ke arah ibu, ayah serta teman lelakinya, Tan Zong Yang, yang juga bekas atlet.

Shanti, 27, berhenti kerja sebagai penulis salinan untuk menjadi atlet sepenuh masa dan pengorbanan itu ternyata membuahkan hasil.

"Sangat-sangat bangga untuk melihat kejayaannya. Saya sangat emosi," kata bapa Shanti, Clement selepas kejayaan manis itu.

"Apa yang kami harap dia mampu lakukan, akhirnya dicapai. Saya masih di awang-awangan dan seperti tidak percaya."

Ia adalah pingat emas pertama Singapura dalam olahraga sejak temasya di Tehran pada 1974 apabila Chee Swee Lee memenangi acara 400m wanita dan ia adalah yang ketiga dalam sejarah mereka.

Ibunya, Jeet berkata, tekanan sebelum perlumbaan akhir pada Isnin lalu itu - apabila Shanti merekodkan 23.03 saat (s) dan mengatasi pelari China, Li Yuting di tempat kedua - sukar digambarkan.

"Menanti acara itu berlangsung cukup mendebarkan dan menguji saraf, jadi doa sangat penting," katanya.

Mengulas langkahnya menjadi pelari pecut profesional, Shanti berkata: "Apabila ada peluang, saya terus menggunakannya."

Tindakan itu menyaksikan dia memecahkan rekod kebangsaan negaranya sebanyak empat kali pada 2023 dari 23.46s kepada 22.57s ketika Kejohanan Dunia di Budapest, Ogos lalu.

"Saya tahu sampai lebih dulu ke garisan penamat dan berkata 'Oh Tuhan'. Ia musim yang hebat, agak gila dan sangat bermakna buat saya. Saya tidak mampu menggambarkannya," kata Shanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 10:55 AM