HAIQAL (tengah) memenangi acara 100m pada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO Fathil Asri
HAIQAL (tengah) memenangi acara 100m pada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO Fathil Asri
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi membuktikan dia masih lagi berbisa apabila berjaya meraih pingat emas 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Walaupun berlari dalam keadaan hujan, Haiqal berjaya mengekalkan momentum pecutan untuk menjadi pelari pertama tiba di garisan penamat dengan catatan masa 10.58 saat (s).

Pelari kelahiran Johor, Muhammad Arsyad Md Saat yang sebelum ini memenangi kejohanan Olahraga Perak All-Comers minggu lalu berada di tempat kedua dengan catatan masa 10.63s.

Tempat ketiga pula adalah milik pelari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jonathan Nyepa (10.64 s) manakala seorang lagi pelari negara, Khairul Hafiz Jantan di tempat kelima dengan catatan masa 10.74 s.

Walaupun berjaya mengungguli acara 100m namun Haiqal masih lagi gagal melepasi kelayakan Sukan Sea Vietnam iaitu 10.52s.

Sementara itu, Haiqal berkata, dia berpuas hati dengan prestasinya setakat ini selepas hampir dua tahun tidak menyertai sebarang pertandingan kompetitif.

"Pasal Sukan Sea itu saya tidak fikirkan sangat kerana andai kata tiada rezeki saya di Sukan Sea mungkin ada di pertandingan lain.

"Tahun ini saya akan fokus kepada latihan iaitu perbaiki larian. Saya tidak kecewa jika tak dapat beraksi di Sukan Sea kerana sebelum ini sudah berpengalaman beraksi di kejohanan itu," kata pemenang pingat emas 100 meter Sukan Sea Filipina tiga tahun lalu itu.

Sementara itu, kategori wanita pula menyaksikan pelari dari Singapura, Pereira Veronica Shanti meraih pingat emas dengan catatan masa 12.03 s.

Tempat kedua pula dimenangi pelari dari Sabah, Nur Aishah Rofina Aling (12.18 s) manakala gangsa pula milik pelari Kedah, Fatin Ilyana Mat Nayan 12.26s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 7:20 PM