Shanti Cooper (kiri) bersama suami David Tronnes (kanan). FOTO Agensi
Shanti Cooper (kiri) bersama suami David Tronnes (kanan). FOTO Agensi
Agensi

Florida: Berang dengan isteri kerana enggan menyertai rancangan realiti Zombie House Flipping, seorang suami tergamak memukul, mencekik sebelum membunuh wanita itu di dalam bilik tidur rumah mereka.

David Tronnes, 55, mendakwa isterinya, Shanti Cooper, 39, terjatuh di dalam bilik air dan maut serta sempat membersihkan diri sebelum polis tiba pada hari kejadian.

Namun hasil perbicaraan pada Oktober lalu, mahkamah mendapati Tronnes bersalah membunuh wanita iut dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya.

Kejadian bermula apabila Tronnes membeli sebuah rumah di kawasan kejiranan mewah di Delaney Park, Orlando pada 2015 sebelum mengahwini Shanti yang dikenali secara dalam talian pada 2013.

Shanti adalah ibu tunggal mempunyai anak lelaki berusia lapan tahun ketika itu juga ahli perniagaan berjaya serta mempunyai firma perisian yang menguntungkan dan merasakan Tronnes menawarkan masa depan stabil yang dicarinya.

Tronnes memberitahu Shanti bahawa dia mewarisi wang bernilai lebih AS$4 juta (Lebih RM18.7 juta) selepas dia bercerai.

Selepas membeli rumah impian pada harga AS$600,000 (RM2.8 juta), dia menjadi taksub untuk mengubahnya hartanah abad ke-19 yang luas itu.

Pasangan itu tinggal di rumah itu dengan kerja pengubahsuaian sedang berjalan.

Shanti bekerja dari pejabat di rumah manakala Tronnes menguruskan projek itu.

Namun sesuatu tidak kena dapat dirasakan Shanti, apabila mendapati dia yang membayar segala-galanya iaitu dari perkahwinan mereka hingga bil pengubahsuaian harta itu.

Malah rumah itu adalah dibawa nama tabung amanah untuk Tronnes dan ibunya.

Namun mungkin 'buta' kerana cinta, Shanti memberikan wang kira-kira AS$250,000 (RM1.2 juta) untuk projek itu.

PASANGAN itu membeli rumah ini sebelum kejadian bunuh itu berlaku. FOTO Agensi
PASANGAN itu membeli rumah ini sebelum kejadian bunuh itu berlaku. FOTO Agensi

Pelbagai kejadian berlaku dan pengubahsuaian oleh Tronees menyebabkan rumah itu tidak selamat didiami dan mengalami masalah.

Menjelang 2018 Shanti bekerja dan tidur di rumah lain yang terletak dalam hartanah yang sama manakala Tronnes terpaksa tinggal di garaj.

Dengan keadaan rumah yang begitu teruk, Tronnes menghubungi pengubahsuai hartanah yang muncul di rancangan televisyen realiti Zombie House Flipping.

Apabila pemaju melihat rumah itu, dia dapat melihat ia adalah 'bencana' dan sesuai untuk ditampilkan dalam rancangan itu.

Dengan penggambaran yang sepatutnya dimulakan pada Mei 2018, Tronnes percaya ia akan menjadi jawapan kepada semua masalahnya.

Namun terdapat kekangan apabila penerbit rancangan mahu Shanti untuk menyertainya, tetapi mereka mendapat tanggapan bahawa dia enggan mengambil bahagian.

Pada petang 24 April, Tronnes menghubungi 911 dan memohon bantuan.

"Isteri saya... Saya jumpa isteri saya, dia tidak bernafas,"," katanya sambil menangis.

Dia mendakwa baharu pulang dari berjalan dengan anjingnya dan mendapati isterinya terapung dalam air mandian separuh penuh.

Tronnes mendakwa menarik Shanti keluar dan melakukan bantuan pernafasan (CPR), tetapi tidak berjaya.

Pasukan penyelamat yang tiba mengisytiharkan Shanti meninggal dunia.

Walaupun Tronnes memaklumkan isterinya meninggal dunia akibat 'kemalangan' tragis itu, namun siasatan mendapati sebaliknya.

Wanita itu mempunyai kesan dipukul dengan teruk dan bilik mandi itu kering dan tiada bukti air terpercik ke lantai, yang dijangkakan sekiranya Shanti ditarik keluar dari tab mandi seperti yang didakwa Tronnes.

Dia mendakwa mendail 911 dalam masa lima minit selepas menemui isterinya tetapi tidak mungkin kawasan bilik mandi - atau Shanti - boleh kering dengan begitu cepat.

Tronnes adalah suspek dari awal dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat yang berlangsung selama beberapa jam.

Lelaki itu mendakwa Shanti yang lengkap dalam baju tidur ketika itu mungkin tergelincir atau pengsan.

Namun keadaan Shanti mempunyai kesan lebam di mata dan pipi serta terdapat trauma senjata tumpul di kepalanya yang bukan akibat jatuh.

Bedah siasat mendedahkan Shanti dipukul dan dicekik.

Pegawai menjumpai darah di atas katilnya, menunjukkan itu mungkin tempat dia diserang.

Sepanjang soal siasat, Tronnes kelihatan menangis, tetapi pegawai menyatakan bahawa dia tidak menitiskan air mata sebenarnya dan dia dituduh memalsukan kesedihannya.

Dia akhirnya dibebaskan sementara polis menjalankan siasatan lanjut.

Tronnes memberitahu pegawai penyiasat bahawa Shanti mungkin dibunuh oleh perompak yang memasuki rumah dan mendakwa kehilangan wang tunai serta cincin pertunangan.

Pegawai kemudian menemui cincin yang hilang di antara harta bendanya.

Malah tiada tanda kemasukan paksa ke rumah itu dan terdapat banyak lagi barang berharga yang belum diambil.

Akhirnya pada 29 Ogos 2018, empat bulan selepas pembunuhan itu, Tronnes ditangkap dan didakwa atas pembunuhan isterinya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 12:10 PM