AKSI Khairul Anuar Mohamad, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
AKSI Khairul Anuar Mohamad, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: Skuad recurve negara berdepan hari sukar selepas semua wakilnya tersingkir pada hari kedua saingan acara masing-masing dan gagal ke peringkat suku akhir di Pusat Sukan Fuyang Sinhu, hari ini.

Selepas aksi pusingan awal sebelah pagi yang menyaksikan skuad berpasukan campuran, berpasukan wanita dan berpasukan lelaki gagal meneruskan kemaraan, pemanah negara berdepan nasib sama bagi acara individu.

Muhammad Zarif Shahir Zolkepli tersingkir di peringkat 1/16 apabila tewas 0-6 di tangan pemanah Iran, Reza Shabani selepas menundukkan pemanah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Alketbi Abdalla 6-2 pada pusingan 1/32.

Khairul Anuar Mohamad pula menewaskan Al-Musa Abdulrahman (Arab Saudi) 7-1 di pusingan 1/32 namun dikecewakan pemanah India, Das Atanu 4-6 di pusingan 1/16.

Bagi kategori recurve individu wanita, Syaqiera Mashayikh berjaya mara sehingga ke pusingan 1/8 sebelum rentaknya disekat pemanah tuan rumah, Hai Ligan dengan keputusan 3-7.

Dia sebelum itu menundukkan Hamoud Hend Abdullah 6-0 di pusingan 1/32 sebelum cemerlang menyingkirkan atlet Kazakhstan, Ilyassova Alina juga dengan keputusan sama pada pusingan 1/16.

Seorang lagi wakil negara, Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini juga tewas di pusingan 1/8 namun di tangan atlet Jepun, Noda Satsuki dengan keputusan 4-6.

Ku Nurin sebelum itu menyingkirkan Al-Marshud Shaden Abdullah 6-0 di pusingan 1/32 sebelum meraih kemenangan tipis 6-5 ke atas Murat Medina 6-5 di pusingan 1/16.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 9:24 PM