Kuala Lumpur: Pemanah compound negara Juwaidi Mazuki (gambar) hanya mampu mara ke pusingan keempat acara compound individu lelaki Siri Piala Dunia di Shanghai, semalam.

Pada pertandingan pusingan keempat itu, beliau tewas 145-147 kepada pemanah Australia Michael Brosnan.

Juwaidi yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama, berjaya mengalahkan Omid Taheri dari Iran dengan 145-144 di pusingan kedua dan seterusnya mengalahkan Reo Wilde dari Amerika Syarikat 149-145.

Seorang lagi atlet negara, Zulfadhli Ruslan tewas kepada pemanah Belanda, Thomas Van Eil dengan 143-146 pada pusingan pertama.

Dalam acara recurve individu lelaki, Haziq Kamaruddin terkandas pada pusingan ketiga menerusi penentuan shoot-off selepas terikat 5-5 dengan Pierre Plihon dari Perancis apabila Plihon mendapat sembilan mata berbanding Haziq yang mendapat lapan mata. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 6:50 AM