JUWAIDI  raih 3 emas di Taiwan.
JUWAIDI raih 3 emas di Taiwan.
Azlan Muhammad Zain


"PUAS". Itu reaksi Mohd Juwaidi Mazuki selepas mempamerkan prestasi mengagumkan apabila meraih tiga emas di siri kedua Piala Asia berlangsung di Taipei, Taiwan, hari ini.

Pemanah compound berpengalaman berusia 29 tahun itu ternyata fokus apabila perlu mengharungi tiga final berturut-turut dalam tempoh lima jam.

Dia bermula dengan final acara campuran bersama Iman Aisyah Norazam menentang wakil tuan rumah untuk melakar kemenangan tipis dengan perbezaan satu mata apabila mengumpul 150 mata.

Belum sempat berehat, dia terus dikerah untuk mengharungi aksi berpasukan bergandingan bersama Zulfadhli Ruslan dan M Khambeswaran.

Kali ini Thailand menjadi mangsa dengan trio negara mempamerkan persembahan meyakinkan bagi kemenangan dengan 223-219 mata.

Kemuncaknya dia turun dalam acara individu menentang rakan sepasukan, Khambeswaran yang memberikan tentangan sengit namun berjaya menang dengan kelebihan satu mata selepas mengumpul 140 mata.

BARISAN pemanah compound negara yang meraih empat emas dan satu gangsa di Taiwan, hari ini.
BARISAN pemanah compound negara yang meraih empat emas dan satu gangsa di Taiwan, hari ini.

Ia menamatkan kemarau emasnya di pentas Piala Asia sejak mula bertanding di peringkat antarabangsa pada 2014.

"Tiada rahsia namun saya hadir untuk mendapatkan rentak dan suasana kejohanan. Saya sendiri tidak sangka mampu menang semua tiga final kerana fokus utama memperkuatkan acara trio.

"Namun ia bonus dan saya yakin ia bakal membakar semangat barisan pemanah recurve negara yang akan turun dalam empat final esok," katanya.

Trio compound wanita yang dibarisi Nur Aina Yasmine Halim, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Iman Aisyah melengkapkan emas keempat apabila mengenepikan saingan sengit Filipina selepas terikat 217 mata.

Aksi shoot-off turut menyaksikan mereka terikat 27 mata namun kemenangan memihak kepada Malaysia berdasarkan kedudukan anak panah lebih hampir.

Saingan individu wanita bagi merebut gangsa membabitkan dua pemanah negara dimenangi Nurul Syazhera yang menewaskan Nur Aina Yasmine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 5:23 PM