YAP Khim Wen beraksi dalam separuh akhir poomsae wanita perseorangan. FOTO Bernama
YAP Khim Wen beraksi dalam separuh akhir poomsae wanita perseorangan. FOTO Bernama
Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


BUKAN emas namun kilauan gangsa sudah cukup untuk memulakan kutipan pingat kontinjen negara dengan positif selepas majlis pembukaan secara rasmi Sukan Asia 2018, malam tadi.

Atlet taekwondo negara, Yap Khim Wen meraih gangsa selepas tewas di separuh akhir kepada Salahshouri Marjan dari Iran dalam acara individu wanita poomsae.

"Kecederaan lama di lutut dan buku lali sedikit menjejaskan saya di gelanggang. Saya yakin boleh memberikan yang lebih baik jika sebaliknya.

"Saya cuba untuk mengubah warna pingat di separuh akhir, sekurang-kurangnya perak namun tidak berhasil. Apapun saya sudah berpuas hati dengan mencapai sasaran ke separuh akhir.

"Saya tidak pasti apa yang membezakan dengan lawan kerana saya memberi fokus kepada diri sendiri. Saya sudah memberikan sedaya mungkin," katanya yang masih menjalani program fisioterapi dan rehab.

Pada aksi separuh akhir di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Khim Wen mengumpul 8.300 mata manakala lawan meraih 8.430.

Dia berkongsi gangsa dengan Yun Jihye dari Korea Selatan yang tewas kepada lawan dari Indonesia pada satu lagi separuh akhir.

Namun pencapaian Khim Wen turut menjadikan dia atlet pertama taekwondo negara yang meraih pingat di Sukan Asia sejak 2002.

Malah atlet berusia 24 tahun berkenaan bangga pengorbanannya menangguhkan pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi swasta membuah hasil.

Untuk rekod, ini kali pertama disiplin poomsae dipertandingkan di Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 7:24 PM