AB Rauf (tengah) tampil memberi sokongan Fit Malaysia di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
AB Rauf (tengah) tampil memberi sokongan Fit Malaysia di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Lebih 10,000 mengambil bahagian sempena Program Fit Malaysia peringkat negeri Melaka yang diadakan di Tanjung Bidara, hari ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai aktiviti diadakan termasuk berbasikal, muay Thai, larian, senamrobik dan cabutan bertuah menarik komuniti menyertainya.

Katanya, aktiviti sukan dan kecergasan berkenaan mampu menjadi pengikat hubungan kekeluargaan di samping mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, sukan tidak harus dilihat sebagai aktiviti bersifat pertandingan dan persaingan semata-mata, sebaliknya harus kembali kepada tujuan asas dan objektif utama bersukan iaitu untuk menyihatkan tubuh badan.

"Justeru itu, saya amat menggalakkan agar model FIT Malaysia ini dilaksanakan di kawasan kejiranan masing-masing, taman perumahan, kampung tradisional, malah di mana sahaja yang sesuai dan selamat.

"Dalam masa yang sama penduduk Melaka harus menggunakan sebaiknya fasiliti sukan dan rekreasi yang disediakan di pelbagai venue di di seluruh negeri berkenaan," katanya.

Rauf berkata, lokasi riadah secara percuma seperti di Pantai Tanjung Bidara, Taman Botanikal Ayer Keroh, Stadium Tun Fatimah, Komplek Sukan Hang Jebat dan banyak lagi kawasan rekreasi lain yang boleh dimanfaatkan untuk semua generasi.

Pelbagai agensi termasuk Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam penganjuran Fit Malaysia berkenaan.

Aktiviti antaranya fit community, fun run, fun walk, fun ride selain pelbagai acara sampingan bersama komuniti seperti Family Walk (3km), fun run 5km dan 10km, fun ride 10km ,fun ride trail MTB 30km, lompat tali dan senamrobik .

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 7:23 PM