GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggariskan beberapa aktiviti yang tidak dibenarkan di enam daerah di Selangor yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini hingga 17 Mei.

MKN menjelaskan aktiviti ekonomi seperti spa dan refleksologi tidak dibenarkan manakala aktiviti hiburan iaitu kelab malam (pub), taman tema, taman permainan dalaman, karaoke keluarga serta panggung wayang turut dilarang sepanjang PKP.

Bagi sukan dan rekreasi, MKN menetapkan larangan bagi aktiviti yang membabitkan sentuhan fizikal kecuali Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL), pengoperasian fasiliti sukan rekreasi tertutup atau separa tertutup tanpa kawalan penyeliaan.

Sepanjang tempoh PKP, penonton dan penyokong tidak dibenarkan hadir ke pusat sukan atau stadium serta dilarang menjalankan aktiviti massa yang menyukarkan penjarakan fizikal seperti pendakian, fun run, maraton dan sebagainya.

Untuk pelancongan, MKN tidak membenarkan keluar masuk kawasan PKP dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), keluar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang membabitkan pelancong asing kecuali dari negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri.

Selain itu, sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan turut tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 12:18 PM