ALLAHYARHAM Hattem meninggal dunia selepas terbabit dengan nahas kemalangan semasa menyertai perlumbaan itu pada 3 September 2023 di Litar Pekan Speedway, Pekan, Pahang. FOTO media sosial
ALLAHYARHAM Hattem meninggal dunia selepas terbabit dengan nahas kemalangan semasa menyertai perlumbaan itu pada 3 September 2023 di Litar Pekan Speedway, Pekan, Pahang. FOTO media sosial
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengesahkan perlumbaan drag, Malaysia Drag Bike National ET Record Championship Road Tour 2023 tidak mendapat sanksi Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Menurut PJS, mereka akan menjalankan siasatan terperinci di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] sama ada terdapat sebarang pelanggaran Akta.

"Seluruh warga PJS ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelumba drag, Allahyarham Muhammad Hattem Rashdi yang meninggal dunia selepas terbabit dengan nahas kemalangan semasa menyertai perlumbaan itu pada 3 September 2023 di Litar Pekan Speedway, Pekan, Pahang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar PJS, mereka memandang serius perkara ini dan semakan awal mendapati kejohanan itu tidak mendapat sanksi MAM selaku badan pengelola sukan bermotor di Malaysia.

"Semua pihak diseru untuk mendapatkan status penganjuran acara sukan yang disertai dengan pihak PJS bagi memastikan semua aspek keselamatan dititikberatkan.

"PJS sentiasa bekerjasama dengan MAM bagi memastikan keselamatan aktiviti sukan bermotor sentiasa terpelihara," katanya.

Tambah PJS, sekiranya memerlukan maklumat lanjut orang ramai boleh merujuk kepada PJS menerusi talian 03-8994 4800 atau e-mel [email protected].

MAM sebelum ini mengeluarkan kenyataan perlumbaan berkenaan tidak mendapat kelulusan mereka.

Hattem terbabit kemalangan pada 1 pagi Ahad lalu, iaitu hari pertama perlumbaan di Pekan selepas motosikal ditungganginya terbabas.

Jenazah anak bongsu dari lima beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lalang, Alor Janggus, di sini jam 12 tengah hari tadi.

Kira-kira 3,000 menziarahi jenazah arwah termasuk pengikut akaun Tik Tok Allahyarham yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 8:33 PM