KEADAAN van yang membawa pasukan Giant Cycling Team terbalik. FOTO ASWADI ALIAS
KEADAAN van yang membawa pasukan Giant Cycling Team terbalik. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Baling: Pengerusi Jawatankuasa Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan punca kemalangan van pasukan Giant Cycling Team sebelum perlumbaan peringkat ketiga dari Jeli ke Baling hari ini adalah berpunca daripada pemandu hilang kawalan.

Menurutnya, kemalangan berkenaan berlaku di kilometer 34 menuju ke Baling ketika van berkenaan membawa tiga pelumba Giant dan seorang masseur pasukan terlajak daripada tempat permulaan perlumbaan yang terletak di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Jawatankuasa Pelaksana LTdL 2023 ingin memaklumkan kemalangan berkenaan berlaku selepas pemandu hilang kawalan di satu selekoh selepas terlajak daripada tempat permulaan perlumbaan," katanya dalam satu sidang media selepas tamat perlumbaan peringkat ketiga.

Ujarnya, bomba daripada yang menyertai Calvacade LTdL 2023 memberikan bantuan dan pemerhatian awal sebelum tiga mangsa dikejarkan ke hospital termasuk pemandu van, seorang pelumba dan masseur pasukan.

"Dua lagi mangsa mendapat bantuan daripada doktor perlumbaan dan mereka yang dikejarkan ke hospital juga dibenarkan keluar selepas tidak mengalami kecederaan serius, sebelum menuju ke hotel di Butterworth untuk persediaan perlumbaan peringkat keempat esok.

"Laporan polis juga dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jeli, dengan menjelaskan bahawa pemandu terlajak daripada kawasan permulaan perlumbaan dan kemalangan berlaku ketika mereka ingin patah balik," katanya.

Tambahnya, pemandu baharu akan diganti untuk membawa van pasukan berkenaan esok, memandangkan pasukan itu masih mempunyai seorang lagi pelumba yang meneruskan saingan.

Pelumba yang terbabit dalam kemalangan itu dikenali sebagai Lin Chuanyang, Wang Zichen dan Huang Junlei, manakala Deng Penghai masih lagi meneruskan saingan untuk baki perlumbaan LTdL 2023.

Sementara itu, Pengurus Giant Cycling Team, Song Guo Qiang berkata, kejadian yang menimpa mereka amat jarang berlaku dan percaya pihak penganjur akan memberikan penjelasan sewajarnya kepadanya.

"Ketika kejadian, tiga orang pelumba saya berada di dalam van itu. Mereka pun dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan selepas imbasan dilakukan, mujur tiada kecederaan serius.

"Saya bukan sahaja risaukan nyawa tiga pelumba saya, tetapi pemandu kami. Bila dimaklumkan tiada kemalangan jiwa dan tiada kecederaan serius, saya lega kerana nyawa adalah lebih penting. Memang saya berasa kesal kerana keadaan seperti amat jarang berlaku.

"Pasukan Giat Cycling Team sudah lama menyertai saingan LTdL, kerana saingan ini adalah antara perlumbaan yang terbesar di Asia. Saya pula mula membawa pasukan ini ke Langkawi sejak 2017, 2018, 2019 dan kami kembali semula ke sini pada 2023," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 5:36 PM