SABRI (dua dari kiri) dijadualkan akan bersaing di Kejohanan Muay Thai Remaja Kebangsaan bulan depan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SABRI (dua dari kiri) dijadualkan akan bersaing di Kejohanan Muay Thai Remaja Kebangsaan bulan depan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemenang Kejohanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuda Merah Muaythai Challenge, Wan Mohammad Sabri Wan Mohd Zaki, 21 menjadi antara taruhan Persatuan Muay Thai Negeri Melaka (PMNM) pada Sukan Malaysia (Sukma XX).

Setiausaha Agung PMNM, Mohd Zulhairy Hussain berkata, kejayaan berkenaan impak besar kepada kontinjen Melaka dalam persiapan akhir menjelang Sukma XX kelak.

Katanya, hanya dua minit diperlukan Wan Mohammad Sabri untuk menumbangkan lawannya pada aksi berkenaan sekali gus membakar semangat 11 rakan atlet Melaka untuk terus menyerlah.

Menurutnya, aksi yang berlangsung di di Stadium Titiwangsa minggu lalu itu memberikan kemenangan TKO (Technical Knock Out) kepada atlet Melaka itu yang dikenali Sabri Thai V6 selepas lawannya rebah pada pusingan pertama.

"Sabri Thai V6 yang turun beraksi dalam kategori superfight nyata bukan tandingan apabila lawannya rebah dalam saingan terbabit walaupun baru memasuki dua minit pusingan pertama.

"Ia sekali gus mendorong pengadil memberi kemenangan TKO kepada Sabri selepas lawannya tidak lagi berdaya meneruskan perlawanan," katanya.

Beliau berkata, kemenangan itu menjadi penyuntik semangat buat atlet Sukma Melaka itu selepas turut meraih tali pinggang utama pada Kejohanan Kuda Merah Muaythai Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Februari lalu.

Mohd Zulhairy berkata, Sabri dijadualkan akan bersaing di Kejohanan Muay Thai Remaja Kebangsaan bersama atlet lain pada 1- 3 Julai depan di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 4:13 PM