SKUAD ragbi 7’s negara mahu cipta keputusan positif di Sukan Asia. FOTO KRM
SKUAD ragbi 7’s negara mahu cipta keputusan positif di Sukan Asia. FOTO KRM
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad ragbi tujuh sebelah (7's) kebangsaan akan menjalani latihan di luar negara sebagai persiapan mengharungi temasya Sukan Asia pada September depan.

Setiausaha Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (MR) Amrul Hazarin Hamidon tiga negara kemungkinan menjadi destinasi buat pasukan Bunga Raya 7's untuk menjalani latihan sebagai usaha mempertingkatkan lagi kemahiran dan kemampuan mereka ke tahap optimum.

Beliau berkata, walaupun setakat ini tiada kata putus negara yang bakal menjadi destinasi pilihan pasukan kebangsaan itu, namun kemungkinan besar mereka akan menjalani latihan di New Zealand, Australia atau Afrika Selatan.

"Kami mahu memperbaiki pencapaian dengan berharap pasukan negara mampu mencipta keputusan positif di Sukan Asia.

"Kami akan memanggil barisan pemain untuk menjalani latihan dalam tempoh terdekat ini sebelum mereka menyertai Kejohanan Asia pada Ogos ini.

"Pada masa sama, mereka akan 'berkampung' di negara luar untuk menjalani latihan dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi memperbaiki kelemahan pasukan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Amrul berkata, beberapa isu melanda pasukan dengan merehatkan jurulatih 7's Ahmad Fadzlee Ahmad Idriss dan pengurus Datuk Azaddin Abd Aziz baru-baru ini bagi memastikan pasukan terbabit kembali 'harmoni'.

"Pasukan 7's dikatakan tidak harmoni hingga menimbulkan beberapa isu sekali gus menyebabkan MR merehatkan dua individu berkenaan bagi tenangkan keadaan.

"Terdapat beberapa isu lain seperti berlaku ketirisan sebenarnya tidak wujud namun lebih kepada mahu memastikan tiada lagi perbalahan dalam pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 4:09 PM