AMRUL berkata inisiatif berkenaan mengurangkan bebanan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung pasukan itu. FOTO NSTP
AMRUL berkata inisiatif berkenaan mengurangkan bebanan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung pasukan itu. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Ragbi 15 Sebelah (15s) kebangsaan bagaikan mendapat semangat baharu apabila menerima tajaan daripada syarikat korporat untuk persediaan menghadapi kejohanan Ragbi Asia (ARC) pada Mei depan.

Setiausaha Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Amrul Hazarin Hamidon berkata, penajaan itu membantu melancarkan lagi persediaan skuad ragbi negara dalam memberi tentangan sengit pada kejohanan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun jumlah tajaan berkenaan tidak menampung keseluruhan perbelanjaan skuad Ragbi 15s, namun inisiatif berkenaan mengurangkan bebanan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung pasukan itu.

"KRM sedang memperhalusi strategi persediaan pasukan 15s kebangsaan di mana dimaklumkan kesediaan beberapa syarikat korporat untuk menaja persediaan pasukan kebangsaan di dalam menghadapi Kejohanan ARC.

"Dana yang bakal diperoleh masih lagi kurang dari apa yang diperlukan dan akan diperolehi secara berperingkat.

"Jika diikutkan jumlah keseluruhan persiapan pasukan merangkumi pemain dan pegawai adalah RM2 juta namun setakat ini yang diperoleh masih lagi kurang dan berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menaja skuad Ragbi 15s negara," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, beliau berkata, KRM turut dimaklumkan terdapat syarikat yang berminat untuk membantu menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyiapkan serta menambahbaik prasarana stadium.

Stadium Nasional Ragbi berkenaan yang berkapasiti 5,000 penonton itu boleh dikatakan sama taraf dengan venue di negara maju seperti New Zealand dan Australia yang diketahui sebagai kuasa besar sukan berkenaan di pentas antarabangsa.

Amrul Hazarin Hamidon kos keseluruhan untuk membina venue berkenaan menelan belanja kira-kira RM17 juta namun terdapat beberapa fasiliti diperlukan dalam memastikan pemain mendapat kemudahan terbaik di stadium berkenaan.

"Stadium berkenaan yang dijangka mengambil masa 18 bulan disiapkan memerlukan beberapa lagi fasiliti atau kemudahan yang akan dimanfaatkan oleh pemain ragbi kebangsaan.

"Oleh itu, syarikat berkenaan berbesar hati menaja dan menambah baik beberapa kemudahan apabila stadium berkenaan siap nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 9:53 PM