FAITH sebak selepas mencatat rekod dunia dalam acara 5,000m di Liga Berlian. FOTO AFP
FAITH sebak selepas mencatat rekod dunia dalam acara 5,000m di Liga Berlian. FOTO AFP
Reuters

Paris: Seminggu selepas memecahkan rekod dunia dalam acara 1,500 meter (m) wanita, Faith Kipyegon dari Kenya tidak menjangkakan mampu melakukan perkara sama bagi perlumbaan 5,000m, selepas lapan tahun tidak menyertai perlumbaan jarak itu.

Pelari berusia 29 tahun itu mempamerkan persembahan menakjubkan untuk memadamkan rekod lama 5,000m di Liga Berlian, Paris menewaskan pemegang rekod dunia terdahulu, Letesenbet Gidey dari Ethiopia.

Faith memintas Letesenbet kira-kira 700m menuju garisan penamat sebelum menamatkan larian dengan catatan 14 minit 5.20 saat (s).

Selepas melintasi garisan penamat dia menekup muka dengan tangan kerana tidak percaya catatan masa dilakukannya sebelum menerima pelukan daripada Letesenbet.

Juara Olimpik dua kali dan juara dunia 1,500m itu tidak pernah terfikir untuk memecahkan rekod berkenaan.

"Saya tidak tahu bagaimana dapat melakukannya. Saya hanya fokus kepada lampu hijau dan cuba untuk kekal tenang, menikmati perlumbaan sebaiknya.

"Saya hanya berlari dan menunggu apa yang akan berlaku, apabila saya melihat ia adalah rekod dunia, saya terkejut," kata Faith.

Sebelum ini Letesenbet mencatat masa 14:06.62s pada 7 Oktober 2020 di Valencia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 9:40 AM