AMISHA (tengah), Rifdean (kanan) dan Dariss menjuarai kategori masing-masing.
AMISHA (tengah), Rifdean (kanan) dan Dariss menjuarai kategori masing-masing.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Barisan atlet muaythai negara membuktikan keunggulan mereka apabila berjaya membawa pulang lima emas, dua perak dan satu gangsa di Kejohanan Muaythai Dunia 2023 di Bangkok, Thailand yang melabuhkan tirainya, hari ini.

Aksi paling mencuri tumpuan adalah daripada juara dunia, Mohd Rifdean Masdor yang berjaya mempertahankan gelaran diraihnya tahun lalu biarpun terpaksa bertukar kategori daripada 50 kilogram (kg) kepada 51kg kerana akan beraksi dalam sirkit pro dunia dalam kategori sama hujung bulan ini.

Rifdean sekali lagi mengejutkan atlet pilihan tuan rumah dari Thailand di pusingan awal dan ditentang hebat oleh atlet Uzbekistan di peringkat akhir sebelum meraih kemenangan dengan pungutan mata 30-27.

Presiden Muaythai Malaysia, Datuk Shahnaz Azmi berkata, beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian atlet negara yang mempamerkan kesungguhan mereka memenangi emas dalam setiap acara.

"Saya gembira dengan pencapaian atlet negara kali ini. Mereka membuktikan kesungguhan untuk menang dan semangat tidak mudah mengalah walaupun berhadapan dengan atlet yang mempunyai fizikal lebih besar dan berpengalaman.

"Kejayaan ini secara tidak langsung mengubati kekecewaan tidak beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja selepas tuan rumah menukar nama sukan daripada Muay kepada Kun Khmer membuatkan juara muaythai negara tidak dapat menyertai edisi kali ini," katanya.

Sementara itu turut cemerlang adalah atlet wanita negara, Nur Amisha Azrilrizal yang menewaskan peserta Iran dengan keputusan 29-27.

Nur Amisha yang memenangi pingat gangsa pada 2021 dan pingat perak pada 2022 berjaya merealisasikan impiannya menjadi juara dunia buat kali pertama selepas memberikan persembahan mantap menewaskan pesaing yang lebih berpengalaman.

Keputusan Majlis Sukan Negara untuk memasukkan acara wai kru dan mai muaythai dalam edisi Sukan Malaysia Sukan Malaysia (Sukma) juga mendapat pulangan apabila atlet disiplin berkenaan menyumbang tiga pingat emas selepas bertarung selama beberapa hari sebelum ke pusingan akhir.

Yan Jia Chi cemerlang memungut mata tertinggi menewaskan peninju dari Filipina di pusingan akhir bagi acara wai kru wanita bawah U23. Dariss Muzzamiel Mahadi pula menewaskan atlet Hong Kong dengan pungutan mata tertinggi bagi kategori wai kru lelaki U23.

Dariss Muzzamiel sekali lagi cemerlang selepas berpasangan dengan Asyraf Daniel apabila memungut mata tertinggi dalam disiplin mai muaythai untuk menewaskan pasangan Filipina, LJ Rafael Yasay dan Adelle Vincent Rosales untuk emas terakhir Malaysia di Kejohanan Muaythai Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 4:33 PM