WENG Son menyertai acara jianshu lelaki.
WENG Son menyertai acara jianshu lelaki.
Syazwan Msar

Phnom Penh: Atlet wushu negara Wong Weng Son perlu menunggu lebih lama lagi untuk meraih emas di temasya Sukan Sea apabila mengakhiri saingan acara gabungan jianshu - qiangshu di tempat kedua hari ini.

Aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar menyaksikan status Weng Son sebagai bekas juara dunia tidak mampu memikat hati barisan juri untuk memperoleh markah tinggi sekali gus terpaksa berpuas hati membawa pulang perak dengan jumlah pungutan mata 19.103.

Atlet berusia 31 tahun itu tewas kepada pencabar terdekat dari Indonesia Muhammad Daffa Golden Boy yang membawa pulang emas selepas mengutip 19.326 mata manakala Gangsa milik Filipina Sandrex Navida Gainsan(18.926 mata).

Sementara itu, Weng Son berkata, dia sememangnya sedih apabila percubaan kali kelima untuk mendapat emas di Sukan Sea menemui jalan buntu.

"Saya memang sedih kerana sasaran membawa pulang emas pada penampilan kelima ini. Namun saya tetap bersyukur memperoleh perak untuk negara.

"Saya tidak tahu sama ada mahu meneruskan lagi perjuangan di Sukan Sea atau sebaliknya kerana umur 31 tahun ini mungkin perlu menumpukan kepada perkara lain," katanya.

Dalam acara Qiangshu semalam, Weng Son memungut 9.6300 mata, berbanding atlet Sandrex (9.5930) dan Muhammad Daffa (9.6500).

Pada acara Jianshu hari ini, Weng Son berjaya melakukan 9.4730 mata, melonjakkan namanya ke kedudukan pingat perak dengan markah keseluruhan 19.1030.

Weng Son masih lagi berpeluang untuk meraih emas di Sukan Sea Kemboja apabila bakal beraksi pada esok untuk acara changquan.

Sementara itu, atlet wushu wanita negara Pang Pui Yee meraih pingat gangsa bagi acara gabungan jianshu - qiangshu pada penampilan pertamanya di temasya Sukan Sea.

Pui Yee meraih gangsa selepas mengutip markah keseluruhan 18.246 manakala emas milik peserta Vietnam Thuy Vi Duong (19.229 mata) manakala atlet Mnyanmar Sandy Oo membawa pulang perak(19.086 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 4:10 PM