WAI Kin beraksi dalam disiplin qiangshu lelaki  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
WAI Kin beraksi dalam disiplin qiangshu lelaki di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Fabian Peter dan Ferzalfie Fauzi & Syafiq Aznan


PASUKAN wushu negara menamatkan sesi pagi pada hari kedua pertandingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Yeap Wai Kin meraih emas pertama hari ini sekali gus mengumpul empat secara keseluruhan setakat ini apabila dia mencatat 9.68 mata dalam acara qiangshu lelaki.

Rakan sepasukan Wong Weng Son di tangga kedua dengan 9.65 diikuti peserta Indonesia, Muhammad Daffa Golden Boy dengan 9.63 mata.

Sementara itu dalam final qiangshu wanita, atlet negara Phoon Eyin kalah pingat emas dengan hanya 0.01 mata di tangan peserta Vietnam, Thuy Vi Duong yang mencatat 9.67 mata. Sandy Oo dari Myanmar meraih gangsa dengan 9.65 mata.

Dalam acara daoshu-gunshu akhir, catatan 19.29 mata Khaw Jun Lim membolehkannya merangkul pingat gangsa.

Jowen Lim dari Singapura memenangi pingat emas dengan 19.37 diikuti peserta Indonesia, Achmad Hulaefi.

“Saya amat bangga dengan persembahan pasukan setakat ini. Ini baru hari kedua dan kami sudah mengumpul empat emas.

“Harapnya kami boleh bertindak lebih baik bagi baki saingan selepas ini,” kata jurulatih pasukan Malaysia, Lim Yew Fai.

Kontinjen negara berharap dapat menang enam pingat emas menerusi sukan wushu, menyamai pencapaian terbaik mereka pada edisi 2001 di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 12:36 PM