DARI kiri Nur Afrina Rizal, Nur Aishah Rofina Aling, Azreen Nabila   dan Zaidatul Husniah Zulkifli yang membentuk kuartet 4x100m wanita negara.
DARI kiri Nur Afrina Rizal, Nur Aishah Rofina Aling, Azreen Nabila dan Zaidatul Husniah Zulkifli yang membentuk kuartet 4x100m wanita negara.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Agak sukar melihat atlet wanita Malaysia mengenakan imej bertudung sebelum ini memandangkan kebanyakannya tidak berbuat demikian atas faktor keselesaan yang sedikit sebanyak mengganggu prestasi mereka.

Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi sukan ketika ini, banyak pengeluar barangan sukan tampil mengeluarkan produk tudung direka khas bagi memudahkan atlet ini tanpa menjejaskan prestasi mereka ketika bertanding.

Malah baru-baru ini, tular di media sosial apabila kuartet 4x100 meter (m) wanita negara yang mana tiga daripadanya memakai tudung berjaya menggondol pingat emas di Terbuka Singapura dan hampir memecahkan rekod kebangsaan acara itu.

Kejohanan itu sebahagian daripada persiapan untuk memburu pingat di Sukan Sea Kemboja.

Bagi Azreen Nabila Alias yang merupakan salah seorang pelari pecut dalam kuartet 4x100m itu, dia tidak melihat tindakan berhijab setiap kali berlari akan mengganggu prestasinya.

Malah Azreen yang turut mengenakan imej berhijab ketika beraksi di temasya Olimpik Tokyo 2020 itu memberitahu, tindakan itu mendapat sokongan pelbagai pihak yang mengharapkannya kekal bertudung setiap kali turun beraksi.

"Bagi saya bertudung waktu berlari ini sebenarnya tiada masalah. Tetapi itu semua bergantung atas keselesaan masing-masing kerana ada orang okay ada orang tak okay.

"Untuk saya, sebenarnya saya selesa lagi-lagi sekarang ini ada produk tudung sukan dibuat untuk golongan seperti kami yang mahu tampil dengan imej bertudung ketika berlari.

"Setakat ini tiada orang yang pernah pertikaikan tindakan saya memakai tudung waktu berlari malah mereka lagi beri sokongan dan minta saya untuk kekalkan imej bertudung itu," katanya kepada Arena Metro.

Dalam pada itu seorang lari pelari pecut negara yang turut mengenakan imej berhijab, Nur Aishah Rofina Aling turut senada dengan Azreen yang bersetuju tindakannya bertudung tidak menjejaskan prestasi lariannya.

Menurut atlet kelahiran Sabah itu, dia berharap imej bertudung sedikit sebanyak mampu menarik minat wanita beragama Islam di luar sana untuk menceburi bidang sukan.

"Saya bangga dan teruja kerana dapat membawa imej Islam dalam sukan ini. Ini juga secara tak langsung salah satu dakwah saya kepada atlet pecut di luar sana bahawa dengan bertudung juga sebenarnya tidak ada masalah untuk kita terbabit dalam sukan.

"Jadi saya harap selepas ini akan ada lebih ramai atlet bertudung tampil menceburi bidang sukan. Bagi saya selagi ada kemahuan, semangat dan usaha tidak kira bertudung mereka mampu untuk berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 5:21 PM