SEBAHAGIAN daripada atlet Malaysia yang hadir pada upacara menaikkan bendera Malaysia di perkarangan Stadium Nasional Morodok Techo. FOTO Fathil Asri
SEBAHAGIAN daripada atlet Malaysia yang hadir pada upacara menaikkan bendera Malaysia di perkarangan Stadium Nasional Morodok Techo. FOTO Fathil Asri
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Sukan Sea Kemboja 2023 secara rasmi akan membuka tirai, esok dengan seluruh tumpuan terarah kepada Stadium Nasional Techo Morodok.

Ribuan delegasi atlet, jurulatih dan pegawai pasukan daripada 11 negara akan membanjiri stadium berkenaan bagi acara perasmian temasya terbesar di rantau Asia Tenggara itu.

Topik yang bakal menjadi fokus utama adalah busana yang akan digunakan setiap kontinjen yang menyertai perbarisan masuk pada upacara berkenaan.

Tidak ketinggalan juga bagi Kontinjen Malaysia yang mana busana yang akan dipakai pada upacara itu turut sangat dinanti-nantikan rakyat negara ini.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Mohd Nasir Ali memaklumkan busana batik menjadi pilihan kontinjen negara yang akan dipakai pada upacara perasmian itu.

Beliau berkata, busana ringkas yang menonjolkan kebudayaan Malaysia juga bersesuaian dengan mengambil kira cuaca panas di Kemboja Ketika ini.

"Pakaian ini kita sudah sediakan dan kita sudah kaji dari segi beberapa aspek terutama cuaca panas serta dari segi apakah ciri-ciri yang kita nak tunjukkan.

"Jadi kita buat keputusan untuk pakai batik lengan panjang. Ia akan bertemakan warna bendera kita dan juga ada ciri-ciri batik Malaysia. Saya berasa yang penting selesa, nampak elegan dan ceria," katanya.

Malah, Mohd Nasir berkata rekaan busana itu tidak membabitkan pereka khas dan terkenal, sebaliknya mengambil kira idea yang dikongsi banyak pihak.

Perarakan masuk kontinjen negara akan diketuai atlet karate negara, R Shamendran yang diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Pada temasya 2021 di Hanoi, kontinjen negara mengenakan busana kemeja bercorak belang harimau manakala pada 2019 di Filipina, menggunakan pakaian tradisional baju Melayu dan baju kurung putih dengan sampin dan selendang merah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 1:03 PM