KOLEKSI Kurung Azariah menekankan rekaan baju raya dengan perincian poket selain potongan longgar sesuai dengan imej muslimah atau adat ketimuran.
KOLEKSI Kurung Azariah menekankan rekaan baju raya dengan perincian poket selain potongan longgar sesuai dengan imej muslimah atau adat ketimuran.
Nurul Husna Mahmud

BIARPUN lahir dalam kalangan generasi baru dan pernah bekerja dengan syarikat fesyen jenama antarabangsa, pereka fesyen Amirah Sarah Mohd Fahmi atau lebih dikenali sebagai Miera Fahmi masih menyanjungi busana tradisi sebagai teras utama dalam penghasilan rekaan baju.

Beliau yang juga pendatang baru bakal melancarkan koleksi sulung Kurung Aziriah pada Syawal ini, menyifatkan rekaan klasik atau cita rasa vintaj masih menjadi pilihan utama untuk dijadikan konsep pada setiap kali pilihan busana raya.

"Kalau melihat kepada inspirasi dan juga pilihan gaya ketika hari raya, saya sukakan potongan baju kurung Johor terutama pernah digayakan generasi terdahulu.

"Dengan poket tinggi, perincian tengkuk potongan teluk belanga dan juga siluet longgar membuatkan gaya itu tidak pernah 'tua' pada pengamatan saya.

"Saya sendiri pernah memilih untuk mengenakan baju nikah yang pernah dipakai nenek, kemudian diturunkan pada ibu kerana menyukai potongan dan fabrik dahulu cukup unik," katanya.

Baginya, trend busana raya kontemporari atau moden ketika ini masih menjadikan rekaan busana tradisi sebagai rujukan dengan penambahbaikan sudut lain-lain untuk disesuaikan generasi hari ini.

"Jika melihat kepada trend baju raya, walaupun busana seperti baju kurung, kebaya dan baju kasual untuk digayakan ketika Syawal, masih ada elemen tradisi dikekalkan.

MIERA, pereka baru yang lebih gemar menghasilkan rekaan berasaskan busana tradisi.
MIERA, pereka baru yang lebih gemar menghasilkan rekaan berasaskan busana tradisi.

"Sebagai contoh baju kurung moden atau rekaan baju Melayu masih mengekalkan ciri-ciri asas iaitu potongan sama, cuma perincian untuk bahagian tertentu diberi penambahbaikan untuk kesesuaian pemakai zaman sekarang.

"Namun, berbalik kepada cita rasa golongan sealiran atau sezaman dengan saya mahupun lebih muda, pendapat peribadi saya ialah ramai yang mula memilih untuk menggayakan konsep lama atau ada 'roh' vintaj.

"Malah ada mula mencari baju pernah dikeluarkan pada era 60 atau 70-an kemudian disuaikan dengan busana moden.

"Saya tidak hairan jika ada yang mula mencari fabrik atau baju dari gerobok lama atau pernah dipakai nenek atau moyang mereka lalu diubah suai atau dipakai bersama busana moden dalam koleksi mereka," katanya.

Faktor lain yang membuatkan busana tradisi dekat dengan pereka berusia 32 tahun itu ialah nilai sentimental tersendiri selain nostalgia raya ketika zaman kanak-kanaknya.

"Antara perkara membuatkan saya lebih selesa menghasilkan rekaan atau mengenakan busana tradisi kerana dikelilingi ibu dan nenek yang gemar serta mempunyai minat mendalam terhadap penghasilan busana.

"Saya lihat sendiri bagaimana nenek saya menjahit terutama baju kurung Johor lama dengan poket. Sebenarnya mereka hasilkan baju cukup praktikal terutama perincian poket itu menjadikan ia lebih 'stylo' selain berguna untuk meletakkan barang peribadi penting.

"Selain itu ciri-ciri kesederhanaan dan rekaan busana tradisi terutama dalam penggayaan busana raya juga menjadikan pemakainya tampak lebih feminin.

"Pada masa sama rekaan baju tradisi biasanya longgar dan selesa kerana sesuai dengan aktiviti atau rutin mereka perlu tangkas di dapur selain perlu kelihatan cantik ketika melayani tetamu yang bertandang," katanya.

Seperti koleksi Kurung Aziriah yang menjadi 'buah tangan' pertama Miera, perincian poket menjadi tanda pengenalan penting dalam penghasilan rekaan busana terbabit.

PROSES awal iaitu lakaran untuk mendapat konsep dalam penghasilan baju atau busana.
PROSES awal iaitu lakaran untuk mendapat konsep dalam penghasilan baju atau busana.

"Dalam rekaan koleksi baju raya untuk projek pertama ini, saya mendapat inspirasi gabungan beberapa busana tradisi seperti baju kurung Kedah, baju kurung Johor dan baju Melayu sebagai teras utama.

"Saya tekankan juga praktikaliti atau fungsi rekaan baju boleh digayakan untuk raya mahupun selepas raya. Selain itu konsep sejagat juga dapat dilihat pada rekaan ini kerana saya membayangkan pemakainya terdiri daripada pelbagai golongan.

"Antaranya, ibu yang perlu menguruskan anak-anak dan menyediakan juadah selain perlu melayani tetamu. Potongan tiada tulang baju, longgar, poket dan belahan di sisi memenuhi semua keperluan itu.

"Saya juga memikirkan pakaian ini akan digayakan seharian seperti pergi beraya dan berkunjung ke rumah sanak saudara. Ia dilihat sesuai dan selesa kerana fabriknya berasaska

n material kapas," katanya.

Malah ciri-ciri rekaan ringkas dan sederhana turut digemarinya apabila menampilkan penggunaan motif geometri pada kain pasang potongan lipat selisih di depan untuk dipadankan pada potongan baju terbabit.

"Pengenalan hasil karya pertama, saya tampilkan empat warna iaitu warna asas hitam dan putih selain merah jambu belacan dan hijau zamrud yang pada perkiraannya menjadi warna pilihan untuk kali ini.

MIERA mengenakan persalinan baju nikah pernah dipakai nenek dan ibunya.
MIERA mengenakan persalinan baju nikah pernah dipakai nenek dan ibunya.

"Saya lebih gemar dengan prinsip 'less is more' kerana busana ringkas boleh tampak lebih santai dan menonjol apabila dipadankan dengan pemakaian aksesori.

"Selain itu saya ambil pendekatan tampil dengan konsep sederhana kerana dalam tempoh dua tahun ini terutama selepas pandemik, kebanyakan lebih suka mengenakan gaya lebih sederhana dan selesa,"katanya.

Berkongsi cabaran apabila mengambil risiko dengan memulakan jenama dalam tempoh selepas pandemik katanya, banyak kekangan ketika proses penghasilkan baju sehinggalah ke peringkat pengeluaran sebelum dipasarkan.

"Bagi saya rekaan, idea dan sampel tidak ada masalah kerana maklum balas saya terima dari keluarga dan rakan yang jauh berpengalaman cukup positif.

"Cumanya ketika proses untuk pengeluaran di peringkat kilang, saya rasa cabaran ketika sampel kain kerana tidak dapat turut serta pegang kain.

"Hanya sampel kecil dan sukar bayangkan jika siap pada sepasang baju. Selain itu penerimaan orang lain atau pelanggan baru untuk mengenali saya sebagai pereka fesyen dengan jenama sendiri yang baru menapak dalam industri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 7:01 AM