ANTARA babak menarik ketika upacara perasmian Sukan Sea Kemboja malam ini. FOTO AFP
ANTARA babak menarik ketika upacara perasmian Sukan Sea Kemboja malam ini. FOTO AFP
Syazwan Msar


Phnom Penh: Penantian 64 tahun untuk temasya Sukan Sea berlangsung di bumi Kemboja akhirnya terlerai apabila edisi ke 32 dibuka secara rasmi di Stadium Morodok Techno, sebentar tadi.

Upacara perasmian temasya dwi tahunan yang bertemakan 'Sports Live In Peace' itu berlangsung dalam suasana cukup meriah menerusi persembahan menarik daripada ribuan sukarelawan Sukan Sea Kemboja.

Lebih menarik lagi, penganjur turut menyelitkan persembahan seni bela diri tradisional masyarakat Kemboja iaitu 'kun bakator' dalam usaha memperkenalkannya kepada umum.

Selain itu, persembahan nyanyian dan lampu mewarnai acara berkenaan sekali gus memukau puluhan ribu penonton yang hadir pada majlis terbabit.

Kontinjen negara yang diwakili seramai 42 orang diketuai Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Mohd Nasir Ali bersama Timbalannya Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee.

Atlet karate negara yang juga pemegang pingat emas tiga kali Sukan Sea R Sharmendran diberi tanggungjawab membawa Jalur Gemilang pada majlis perarakan masuk ke venue itu.

Pada edisi Sukan Sea kali ini, wakil negara tampil serba ringkas namun tetap bergaya memperagakan pakaian batik yang melambangkan identiti dan budaya Malaysia.

Wakil lelaki memakai batik berwarna biru melambangkan kedamaian dalam arena sukan sebagai tanda kesediaan tampil ke gelanggang dengan diiringi semangat kesukanan tinggi manakala wanita pula berbusana batik merah yang menggambarkan keberanian serta semangat agresif dalam usaha mencapai kemenangan.

Untuk temasya kali ini, kontinjen Malaysia disertai 677 atlet dan 237 pegawai dengan sasaran diletakkan meraih 40 pingat emas 37 perak dan 64 gangsa dalam 37 acara disertai.

Pada edisi terakhir di Hanoi, Vietnam tahun lalu, Malaysia mengakhiri saingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Berdasarkan prestasi semasa empat jenis sukan dijangka menjadi penyumbang kepada sasaran 40 emas itu dengan olahraga, hoki, karate dan terjun menjadi lubuk kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 9:31 PM