PHILIPPE GILBERT
PHILIPPE GILBERT
AFP

BAGNÈRES-DE-LUCHON: Pelumba Belgium, Philippe Gilbert terpaksa menarik diri daripada Tour de France apabila mengalami kecederaan lutut selepas terbabas ke dalam gaung pada peringkat ke-16 sejauh 218km, semalam.

Pelumba veteran Quick-Step itu berada 57.2 km daripada garisan penamat dan mendahului pelumba lain ketika nahas berlaku. Ketika tiba di tempat kejadian, dia gagal mengawal basikalnya selepas melepasi selekoh dan terhumban melepasi pembahagi jalan.

Walaupun berjaya menghabiskan perlumbaan yang dimenangi rakan sepasukan dari Perancis, Julian Alaphilippe, Gilbert enggan menanggung risiko.

Ujian selanjutnya di hospital mendapati kepala lututnya retak sekali gus dia terpaksa menarik diri daripada perlumbaan.

“Saya gembira berada di sini selepas detik ngeri itu,” katanya. “Ini bukanlah cara untuk saya menamatkan Tour ini dan meninggalkanya dengan terpaksa sangat mengecewakan,” katanya.

Pengurus Quick-Step panik ketika Gilbert terhumban melepasi jalan, ia adalah situasi sama menimpa pelumba Itali, Fabio Casartelli yang maut juga di laluan sama pada 1995.

Ketika melepasi selekoh, Gilbert gagal memperlahankan basikalnya, terbabas dan terhumban beberapa meter ke bawah.

“Kami beraksi baik dan saya mahu membantu Julian. Secara taktikalnya kami melakukan dengan baik tetapi saya ditimpa kemalangan dan ia salah saya. Saya terjatuh ke atas batu dan ketika itu kematian terbayang di depan mata namun saya terselamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:20 PM