REAKSI Djokovic selepas menewaskan Rublev di suku akhir, semalam. FOTO AFP
REAKSI Djokovic selepas menewaskan Rublev di suku akhir, semalam. FOTO AFP
Reuters

Melbourne: Novak Djokovic berkata, ada sebab tambahan di sebaliknya usahanya memburu gelaran Terbuka Australia, kali ini, selepas dia dihantar pulang dari negara itu tahun lalu dan dan bergelut dengan masalah hamstring dialami di kejohanan pemanas badan di Adelaide.

Berikutan tiba di Australia tanpa vaksin Covid-19, 12 bulan lalu, juara sembilan kali di Melbourne itu dihantar pulang pada ketika ramai rakyat Australia sedang marah berikutan kawalan ketat berhubung wabak berkenaan.

Djokovic kembali semula pada tahun ini selepas penggantungan visa selama tiga tahun ditarik balik dan walaupun bintang Serbia itu mengalami masalah hamstring ketika muncul juara di Adelaide, dia dilihat sukar disekat untuk memburu gelaran ke-10 di Melbourne Park dan ke-22 dalam karier Grand Slam.

"Saya sentiasa cuba memberikan aksi terbaik terutama di Grand Slam kerana pada tahap ini dalam karier saya, sudah tentu kejohanan seperti itu amat bernilai," katanya selepas menang 6-1, 6-2 dan 6-4 ke atas pemain Rusia, Andrey Rublev di suku akhir, semalam.

"Tetapi, anda boleh katakan ada sesuatu nilai tambah pada tahun ini. Anda boleh katakan kerana kecederaan, apa yang berlaku tahun lalu. Saya hanya mahu melakukan dengan lebih baik lagi.

"Setakat ini, saya mencipta rekod sempurna di gelanggang keras di Australia iaitu di Adelaide dan di sini. Saya bermain dengan lebih baik, semakin baik dan tidak mampu mengharapkan situasi lebih baik lagi pada saat ini."

Djokovic bermaharajalela ketika menewaskan pemain harapan tuan rumah, Alex de Minaur di pusingan keempat, tetapi berkata ia bukanlah keyakinan tertinggi dirasainya di Melbourne selepas mencapai kejayaan luar biasa sebelum ini.

"Sukar untuk membandingkannya kerana saya bernasib baik dalam mengecapi banyak kejayaan di Terbuka Australia," kata Djokovic yang akan menentang pemain Amerika Syarikat (AS), Tommy Paul di separuh akhir, esok.

"Tetapi, dalam dua perlawanan terakhir apabila berdepan dua pemain bagus dan pada prestasi terbaik, apabila mengalahkan mereka dengan penguasaan tiga set adalah sesuatu yang saya impikan pada ketika ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 11:07 AM