NOVAK Djokovic. -FOTO AFP
NOVAK Djokovic. -FOTO AFP
AFP

Dubai: Novak Djokovic berharap dia akan menerima sambutan hangat daripada orang ramai apabila kembali ke Terbuka Australia bulan depan dan kini isu yang menyelubunginya mengenai status vaksin dan penyingkirannya sudah dilupakan.

Juara sembilan kali di Melbourne Park, Djokovic tidak dapat bersaing pada Grand Slam pembukaan musim ini apabila dia diusir keluar daripada Australia kerana bimbang akan mencetuskan sentimen anti vaksin.

Akibat daripada pengusirannya, Djokovic dilarang memasuki Australia sekali lagi namun akhirnya dia dibenarkan dan pemain nombor lima dunia itu gembira apabila mendapat peluang untuk merebut gelaran ke-10 di Melbourne seterusnya menyamai rekod 22 kejohanan utama keseluruhannya.

"Saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk diri saya dan mari kita lihat.

"Selama bertahun-tahun saya benar-benar bernasib baik dapat bermula di Australia dan saya suka bermain di sana," kata Djokovic selepas perlawanan pertunjukan Liga Tenis Dunia di Dubai.

"Selepas apa yang berlaku pada awal tahun ini, semoga saya dapat menerima sambutan yang baik di sana dan mudah-mudahan ia dapat membantu saya bermain tenis dengan baik," katanya.

Djokovic, 35, tidak dapat beraksi dalam dua dari empat kejohanan utama tahun ini kerana menolak vaksin yang menyebabkan dia turut tidak dapat beraksi di Terbuka AS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 11:37 AM