Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pelumba berbasikal sensasi negara, Mohd Harrif Saleh terpaksa 'berpisah' dengan abangnya, Mohd Zamri selepas nama abangnya itu tidak disenaraikan dalam pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) bagi musim 2023.

Bagaimanapun pelumba yang lebih mesra dipanggil 'Mamat' itu tidak melihat ketiadaan abang kandungnya itu sebagai penghalang buatnya untuk melakar kejayaan yang lebih bermakna pada musim baharu ini.

Sebaliknya pelumba berpengalaman berusia 35 tahun itu berazam untuk menambah lagi koleksi kejayaan lebih-lebih lagi pasukan yang ditubuhkan bermula 2011 itu kini berwajah baharu dengan kemasukan lima pelumba selain jersi juga baharu.

"Ketiadaan abang (Mohd Zamri) dalam pasukan musim ini tiada masalah walaupun kami sudah lama dalam pasukan selain ada pertalian darah, ini adalah lumrah dalam mana-mana sukan apabila tiba masanya terpaksa berundur.

"Lagipun dalam pasukan TSG semua pelumba adalah terbaik sama ada pelumba tempatan ataupun import seperti Youcef Reguigui dari Algeria, Jambaljamts Sainbayar (Mongolia), Anatolii Budiak (Ukraine) dan ramai lagi.

"Jadi dengan perlumbaan yang dijangkakan lebih mencabar pada musim ini, saya berazam untuk menambah koleksi podium bermula dengan Jelajah Arab Saudi dan Oman selain ditambah kejohanan pada kali ini lebih banyak sekali gus bakal merancakkan lagi saingan buat pelumba selain mampu meningkatkan lagi prestasi kami," kata anak kelahiran Kuala Terengganu itu yang mula menyarung jersi TSG sejak penubuhan 13 tahun lalu.

Selain Mohd Harrif, musim ini skuad yang berpangkalan di Terengganu itu membariskan tiga pelumba baharu tempatan iaitu Zuladri Amin Zulkurnain, Kee Zhee Yie dan Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim. Juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dua musim berturut-turut bermula 2021 itu turut 'menyambar' pelumba Indonesia, Aiman Cahyadi dan pelumba kelahiran Australia, Jesse Ewart.

Pelumba lain yang turut berada dalam pasukan musim ini termasuk Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Irwandie Lakasek, Mohamad Nur Aiman Mohd Zarif, Wan Abdul Rahman Hamdan, Metkel Eyob Teweldeberhan (Eritrea) dan Jeroen Meijers (Belanda).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 2:12 PM
HARRIF pada majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba, serta Meraikan Kejayaan Selaku Juara Jelajah Asia UCI 2022 di Permai Hotel. -FOTO Ghazali Kori
HARRIF pada majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba, serta Meraikan Kejayaan Selaku Juara Jelajah Asia UCI 2022 di Permai Hotel. -FOTO Ghazali Kori