ZAMRI bakal tampil peranan berbeza bersama pasukan itu musim ini. FOTO MALIK MUHAMAD
ZAMRI bakal tampil peranan berbeza bersama pasukan itu musim ini. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pelumba berpengalaman Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Saleh bakal tampil dengan 'jawatan' berbeza selepas lebih sedekad bersama pasukan itu dalam saingan perlumbaan musim baharu ini.

Jika sebelum ini abang kepada jaguh pecut lebuh raya, Mohd Harrif itu turut sama bersaing untuk mengintai podium, tapi musim ini pelumba berpengalaman itu lebih bertindak sebagai membantu pasukan memburu podium dalam setiap perlumbaan.

Pelumba berusia 39 tahun itu juga bertindak sebagai tenaga pengajar dalam pasukannya sekali gus membantu pelumba muda sebagai persediaan bagi menggantinya satu hari nanti.

"Selepas 11 tahun bersama pasukan TSG dengan pelbagai suka duka, kini sudah tiba masanya peranan saya lebih kepada untuk membantu pasukan memburu podium dalam setiap perlumbaan yang disertai.

"Selain itu dengan ilmu yang diperoleh sepanjang bergelar pelumba, saya juga berhasrat untuk membantu menaikkan lagi pelumba muda berbakat besar dalam pasukan seperti Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff dan Irwandie Lakasek serta pelumba muda lain.

"Merekalah bakal pengganti kami suatu hari nanti dalam meneruskan kesinambungan pasukan TSG yang sudah memahat nama bukan sahaja muncul pasukan nombor satu Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun lalu, tapi juga mencipta nama di persada dunia," katanya ketika ditemui.

Mengulas perlumbaan terdekat, Zamri yang layak dilabel 'Abg Long' berkata Jelajah Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berstatus 2.2 pada 28 Januari ini bakal menguji kemampuannya musim ini selepas hampir dua tahun tidak beraksi di pentas luar negara.

"Sebelum ini biasanya saya kerap bersama dengan Harrif dalam setiap perlumbaan, tapi pada kali ini saya terpaksa berpisah dengannya dan bakal bergandingan dengan Irwandie dan Nur Aiman pada Jelajah Sharjah itu.

"Bagaimanapun semuanya bergantung kepada perancangan dan taktikal jurulatih, tapi yang penting saya mahu buktikan kemampuan dan membantu pasukan dalam setiap perlumbaan untuk memburu podium," katanya yang akui perlumbaan di Taiwan pada 2020 adalah aksi terakhirnya sebelum ini bersama TSG.

Kesungguhan pelumba itu wajar dicontohi pelumba tempatan lain apabila terus konsisten berkayuh walaupun memasuki usia 40 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 5:08 PM