Pelumba TSG, Zamri Saleh bakal sertai jelajah Thailand awal bulan depan. FOTO Malik Muhamad
Pelumba TSG, Zamri Saleh bakal sertai jelajah Thailand awal bulan depan. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas meraih gelaran nombor satu Asia dan ke-42 dunia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim 2021, pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) bakal membuka kalendar baharu dengan menyertai Kejohanan Jelajah Thailand pada awal bulan depan.

Kapten TSG, Zamri Saleh berkata kejohanan bertaraf 2.1 itu bakal disertai empat pelumba tempatan dan dua pelumba import dalam misi mengutip mata pertama pada musim 2022.

Tambah pelumba berpengalaman itu, pasukan TSG akan 'berkampung' selama seminggu di bumi Gajah Perang itu bermula 1 hingga 6 Disember ini dengan perlumbaan membabitkan enam peringkat.

"Selain saya dan adik, Harrif, kejohanan pembuka tirai musim baharu itu turut disertai Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Nur Aiman Mohd Zariff serta dua pelumba import berasal dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar dan pelumba kelahiran Singapura, Goh Choon Huat.

"Sasaran kami adalah untuk memburu seberapa banyak podium dalam laluan mendatar itu walaupun sedar bukan tugas mudah kerana bakal bersaing dengan pelumba handalan dunia.

"Namun selepas hampir dua tahun saya tidak beraksi dalam jelajah dengan terakhir jelajah Taiwan, sudah pasti saya tidak sabar lagi untuk berlumba, terima kasih kepada pihak pengurusan kerana turut menyenaraikan nama saya pada kejohanan itu," katanya ketika ditemui di pejabat TSG semalam.

Dalam perkembangan lain Zamri bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk membarisi pasukan itu walaupun usianya kini menginjak 38 tahun.

Malah pelumba kelahiran Kampung Ladang, Kuala Terengganu itu tidak langsung terlintas dalam fikirannya untuk menggantung basikal kerana sukan itu sudah menjadi sebahagian rutin sehariannya, sebaliknya pelumba berbakat besar itu tekad untuk meneruskan kayuhan selagi ada kudrat dan mendapat tempat bersama pasukan negeri kelahirannya itu.

"Usia bukan penghalang untuk berjaya, jika kita berdisiplin Insya-Allah kita mampu meraih kejayaan yang diimpikan, jadi setakat ini saya tidak memikirkan lagi untuk bersara.

"Alang-alang saya menyertai sukan berbasikal ini, komitmen saya sudah pasti 100 peratus ketika beraksi dan berlatih walaupun cabaran besar kini berdepan dengan wabak pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 12:47 PM