AZROY Hazalwafie (kiri) menegaskan bahawa dia tidak akan berputus asa. FOTO NSTP
AZROY Hazalwafie (kiri) menegaskan bahawa dia tidak akan berputus asa. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Seperti batu menghempap kepalanya, atlet angkat berat negara Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, 27, menerima keputusan penggantungan terhadap kesalahan doping terhadapnya dengan reda.

Namun jauh di lubuk hatinya, dia merasa kecewa kerana hukuman penggantungan empat tahun itu satu tempoh yang lama ketika dia berhasrat untuk terus mengharumkan nama negara dalam sukan itu selain turut berpeluang melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024.

Begitupun, Azroy yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu menegaskan bahawa dia tidak akan berputus asa dan akan terus berhubung dengan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk membuat rayuan.

"Buat masa ini saya nak tenangkan fikiran dan reda dengan keputusan daripada PABM dan Adamas (Agensi Anti-Doping Malaysia).

"Tapi saya akan berbincang dengan Adamas dan PABM sekiranya boleh membuat rayuan untuk pengurangan tempoh penggantungan itu.

"Namun cukup saya katakan, bahawa saya rasa sedih dengan keputusan ini kerana empat tahun itu satu tempoh yang lama bagi saya.

"Saya amat harapkan PABM untuk tampil membantu saya mengemukakan surat rayuan kepada pihak yang berkaitan," katanya.

Terdahulu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan Azroy dan seorang lagi atlet muda negara, Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari, 19, didapati melanggar artikel 2.1 dan 2.2 peraturan Adamas sekali gus dikenakan hukuman penggantungan berkuat kuasa 17 Julai lalu.

Kedua-dua sampel diuji positif menerusi Dapatan Analisis Memudaratkan (AAF) menggunakan bahan terlarang yang mengandungi metandienone yang disenaraikan sebagai Anabolic Androgenic Steroids di bawah senarai terlarang Agensi Anti Doping Dunia (Wada).

Bagaimanapun menurut KBS, kedua-dua atlet berkenaan boleh mengemukakan rayuan secara bertulis membabitkan keputusan itu kepada Adamas dalam tempoh 21 hari untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan yang sama Azroy berkata, dia sudah pun menghubungi Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berhubung hasratnya mengemukakan rayuan kepada Adamas dan apakah tindakan selanjutnya yang perlu diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 6:13 PM