AYUB menegaskan mana-mana atlet yang tidak berpuas hati dengan persatuan itu boleh membuat laporan polis sekiranya terdapat sebarang keraguan. FOTO NSTP
AYUB menegaskan mana-mana atlet yang tidak berpuas hati dengan persatuan itu boleh membuat laporan polis sekiranya terdapat sebarang keraguan. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menegaskan mana-mana atlet yang tidak berpuas hati dengan persatuan itu boleh membuat laporan polis sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung kes membabitkan jatuh hukum terhadap kesalahan doping.

Ayub ketika dihubungi Arena Metro menegaskan bahawa bukan di bawah bidang kuasa persatuan untuk menjatuhkan sebarang hukuman terhadap atlet yang didapati positif doping.

Tugas itu kini terletak sepenuhnya di tangan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).

"PABM tiada kuasa dalam hal ini. Kes di buat oleh Adamas dan bukan oleh PABM seperti sebelum ini.

"Kuasa mengambil sampel, siasat, pembicaraan, lantikan panel, jatuh hukum dan lain-lain adalah di bawah bidang kuasa Adamas.

"Kes membabitkan dua atlet angkat berat sebelum ini adalah berkaitan stereid matedone S1 dan di dalam artikel dan peraturan Wada (Agensi Anti-Doping Dunia) dan Adamas hukuman adalah mandatori empat tahun.

"Jika ada pihak mengatakan PABM campur tangan, mereka boleh saja membuat laporan kepada pihak polis atau yang lain," katanya.

Ayub menegaskan lagi bahawa perkara itu sudah dijelaskan dalam seminar yang dibuat sebelum ini dan atlet sudah diingatkan bahawa apa yang ada di dalam badan mereka adalah tanggungjawab sendiri.

Terdahulu menerusi kenyataan media Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bahawa dua atlet angkat berat negara Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, 27, dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari,19, didapati melanggar artikel 2.1 dan 2.2 Peraturan Adamas sekali gus dikenakan hukuman penggantungan itu empat tahun berkuat kuasa 17 Julai lalu.

PABM mengesahkan Azroy yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 dan Ikram yang baru diserapkan ke dalam skuad kebangsaan didapati positif anabolic steroid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 8:04 PM