HUSAIN (kanan) mengakui AIS mendapat sokongan daripada peminat sukan berbilang bangsa. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
HUSAIN (kanan) mengakui AIS mendapat sokongan daripada peminat sukan berbilang bangsa. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Impak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro nyata bukan saja menambat hati satu-satu bangsa sahaja, malah sebenarnya ia berjaya mencuri perhatian pelbagai bangsa termasuk Cina dan India untuk bersama-sama memeriahkan AIS.

Suasana itu dapat disaksikan sepanjang Siri Jelajah AIS yang berlangsung di Karnival Jom Heboh di Puteri Harbour, Johor Bharu pada minggu lalu dan terbaharu di pusat membeli belah terkemuka negara Sunway Velocity Mall, di sini semalam.

Menurut Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit, beliau agak kagum melihat penglibatan dan sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya di Siri Jelajah Kedua di Sunway Velocity Mall.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Contoh hari ini (semalam) kita di Velocity Mall menyaksikan sambut luar jangka apabila saya lihat tak kira bangsa ada kat sini.

"Mereka menyambut baik anugerah sukan ini (AIS). Jadi saya harapkan mereka akan terus mengundi ikon sukan kita, di mana lima peserta terakhir ini saya anggap cukup sengit untuk muncul pemenang," katanya.

Dalam siri jelajah itu, pengunjung berpeluang menemui 'top 5' AIS terdiri daripada atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou; Fatin Nurfatehah dari sukan memanah; Muhammad Hakim Danish pelumba motosikal negara dan Tahira Najmunissa dari acara duathlon.

Selain bersua muka dengan atlet, terdapat pelbagai aktiviti disediakan seperti cabaran kayuhan basikal, sepak bola, cenderahati eksklusif dan jualan.

Malah penaja utama AIS Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd turut hadir memeriahkan Siri Jelajah Kedua itu dengan Pengurus Pemasarannya, Ena Suhaila Abas hadir selaku tetamu VIP selain dia juga menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah.

Malah rakan penaja AIS, UKMShape turut membuka gerai untuk mempromosikan kursus-kursus pengajian yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Penaja bersama iaitu CIMB juga menyediakan cabutan bertuah buat pengunjung yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 7:51 PM