AZEEM (dua kanan) bergambar dengan hadiah utama, kereta elektrik Appollen A1 pada Majlis Pra-Kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, baru-baru ini. FOTO Aizuddin Saad
AZEEM (dua kanan) bergambar dengan hadiah utama, kereta elektrik Appollen A1 pada Majlis Pra-Kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, baru-baru ini. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemegang rekod 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi bersedia menghadapi segala halangan mendatang terutama selepas memutuskan untuk berkelana di Amerika Syarikat (AS) selama empat tahun dalam misi menjadi pelari pertama Malaysia melakarkan catatan di bawah 10 saat (s).

Tiada apa yang dapat menghalangnya dan itu tekad anak muda kelahiran Perak biarpun umum mengetahui bahawa kebanyakan atlet negara yang berkelana ke luar negara tidak akan kekal lama di perantauan.

Keinginannya untuk bergelar atlet berjaya lebih besar berbanding rasa rindu di tahan air yang mana tiga kejohanan besar menjadi keutamaannya pada 2023 bermula Kejohanan Olahraga Asia di Thailand pada 12-16 Julai diikuti Kejohanan Dunia di (19-27 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou 23 September hingga 8 Oktober.

Bagaimanapun kesuntukan masa mungkin tidak akan membolehkan Azeem yang mempunyai rekod catatan terbaik 10.09s yang dilakukan di Kejohanan Remaja Dunia Cali, Colombia Ogos lalu untuk menyertai temasya Sukan Sea Kemboja Mei tahun depan.

"Selepas berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) keutamaan akan diberikan kepada pengajian saya di universiti dan kebarangkalian untuk balik sertai Sukan Sea tahun depan agak tipis.

"Jadi saya mungkin akan lupakan Sukan Sea dan fokus kejohanan lebih besar dengan sasaran saya adalah layak ke Kejohanan Dunia seterusnya Olimpik," katanya yang perlu mencatatkan masa 10s untuk layak secara merit ke Kejohanan Dunia.

Raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) berusia 18 tahun itu akan berangkat menyambung pelajaran dan dalam masa sama menjalani latihan di Universiti Auburn, Alabama AS, 1 Januari ini.

Di tanya sama ada dia gusar akan suasana dan kesukaran untuk mengadaptasi corak latihan Azeem menegaskan ia bukan satu masalah.

"Insya-Allah tak ada masalah sebab universiti sudah memantau keadaan saya sejak bulan 11 lagi dan kini sudah dua bulan dalam pemantauan mereka. Saya perlu maklumkan apa yang dilakukan di Malaysia kepada mereka.

"Malah universiti juga sudah berjanji untuk menjaga kebajikan saya sepanjang di AS selain akan diberi peluang untuk pulang ke tanah air bagi tempoh yang lama iaitu satu bulan sekurang-kurang sekali setahun," katanya.

Azeem yang turut tercalon dalam senarai Top 5 kategori Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro bagaimanapun mengharapkan sokongan dari seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kejayaannya di masa depan dalam usaha untuk mengharumkan nama negara di mata dunia.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat Ipoh itu meraih keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menduduki tempat kelima dalam 100m semasa Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 tahun di Cali Colombia.

Dia mencipta kejutan memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s dalam saringan untuk memadam rekod lama 10.18s yang dilakarkan bekas jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 1:17 PM